PRK Merlimau memasuki hari keempat. Sesungguhnya, keadaan kelihatan memihak kepada Barisan Nasional, setelah Perdana Menteri dan Timbalan-nya melawat ke kubu tradisional BN ini. Malah, suasana yang baik ini mungkin antara faktor yang menguja Pengerusi BN Najib untuk mengungkapkan "Lu tolong gua, gua tolong lu" (Kamu tolong saya, saya tolong kamu) ketika berucap kepada khalayak ramai di Jalan Pekan Merlimau.
Seperti biasa, MCA menjadikan isu Negara Islam sebagai senjata serangannya, di samping jamuan, rawatan perubatan Cina percuma, ceramah feng shui, dan perkhidmatan tempatan ketika turun ke padang.
Suasana di sebelah Pakatan Rakyat yang kekurangan sumber kelihatan amat suram, dengan strategi kempen yang agak berbeza daripada sebelumnya. Apakah mereka keletihan selepas PRK demi PRK yang terlalu banyak dari segi bilangannya? Media rata-rata menganggap PAS meletakkan tenaga jenteranya di PRK Kerdau, Pahang, yang berlangsung serentak dengan PRK Kerdau.
Mungkin juga PAS memilih untuk mengelakkan pertembungan sengit dengan BN yang berkempen dengan cara berpesta pada kali ini. Sebaliknya, PAS mengambil pendekatan "perang gerila", menumpukan tenaganya untuk pemilihan parti dan PRU yang akan datang.
PAS menabur benih Jasmin
Ketika berucap dalam ceramah memperkenalkan calon PAS, Presiden PAS Hadi Awang telah menetapkan tema kempen kali ini, iaitu anti-rasuah, memperjuangkan sistem pilihan raya yang bersih, dan kepentingan untuk menyedarkan rakyat. Malah Hadi Awang berkata, "Kita minta BN buat perubahan. Bila umur panjang, ia nyanyuk, akan jatuh."
"Laut ada pasang surut, kalau tidak, pasir tidak bersih. BN perlu ingat, tak ada kerajaan yang selama-lamanya. Libya, Tunisia dan Egypt adalah seruan Allah yang minta bangsanya berubah," kata Hadi Awang (gambar kiri), "Malam pun jadi siang. Jika bangsanya tidak berubah, alam sekitarnya akan berubah."
Revolusi Jasmin nampaknya telah menyuntik momentum baru kepada pemimpin veteran ini, yang berucap dengan penuh bersemangat untuk kira-kira 40 minit. Malah, Hadi Awang memetik penyair terkenal di Tunisia pada awal kurun ke-10, Abou-Al-kacem El-chebbi dengan puisinya, To the Tyrants of the World. Mereka yang menanam duri akan ditusuk durinya, katanya.
Seterusnya, bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin (gambar kanan) mengambil contoh bagaimana Mohd Ali Rustam dan Mohd Isa Samad yang terpalit dengan amalan rasuah dalam pemilihan UMNO dikekalkan sebagai Ketua Menteri Melaka dan dilantik sebagai Pengerusi FELDA.
Malah, Nizar Jamaluddin tidak melepaskan kesempatan untuk menyasarkan isteri Perdana Menteri, menggambarkan betapa mewahnya cara hidup Rosmah Mansor, yang tidak jauh berbeza dengan isteri bekas Presiden Tunisia, Leïla Ben Ali dan isteri bekas Presiden Mesir, Suzanne.
Kempen yang Anti-klimaks
Nizar Jamaluddin berjaya menghangatkan suasana pada malam pertama selepas penamaan calon. PAS dijangka meletakkan pemimpin barisan pertamanya untuk ceramah pada malam-malam seterusnya. Tanpa diduga, hari kedua menyaksikan pemimpin muda, termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan At Tantawi, Timbalan Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan sebagainya masuk ke gelanggang. Percaturan sedemikian nampaknya sedikit sebanyak anti-klimaks.
Wartawan melawat ke bilik gerakan PAS pada hari Ahad, dan hanya satu poster didapati. "Segala-galanya masih dalam persediaan," kata pekerja di situ. Ketika wartawan membuat liputan di Ceramah Perdana Pakatan Rakyat di Merlimau Pasir pada sebelah malamnya, ceramah yang dijadualkan untuk bermula pada jam sembilan malam ditundakan sehingga jam 10 malam.
Ia agak tidak serasi dengan sikap PAS yang agak berkesan dalam kerjanya sebelum ini. Jika diperhatikan bendera parti, poster yang kurang, dan berselerak di sana sini, ditambah pula hampir tiada kenyataan daripada calon - ia mungkin menyimpulkan bahawa strategi PAS di Merlimau jauh berbeza daripada PRK yang lalu. Mungkin PAS semakin ketandusan sumber, selepas beberapa PRK yang melibatkan calonnya.
Ketika dihubungi MerdekaReview, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari berkata tumpuan PRK Merlimau adalah untuk mendampingi pengundi dan menyebarkan maklumat. Beliau berkata strateginya menumpukan tenaga dalam aktiviti lawatan rumah ke rumah, menjelaskan mengapa tiada aktiviti lain diadakan. Pasukan mereka bakal menjelaskan kepada pengundi, mengapa ekonomi merudum, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku, dan mengapa calon PAS harus dipilih untuk membawa masuk agenda rakyat ke dalam Dewan Undangan Negeri.
Menurut analisa PAS, ramai lagi pengundi yang belum membuat keputusan muktamad, menandakan bahawa calon PAS mungkin berpeluang untuk menang. Untuk Adly Zahari, sambutan pengundi agak memberangsangkan, dan kebanyakan daripada mereka mendakwa dirinya tidak mengetahui penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang berlaku selama ini.
Strategi DAP pula...
Adly Zahari enggan mengulas sama ada cara kempen yang "low profile" ini disebabkan langkah pemilihan parti PAS yang semakin dekat. Beliau menekankan bahawa mustahil PAS tidak bersungguh-sungguh ketika berkempen untuk PRK ini. Ini kerana setelah memberi kata dua untuk bertanding, maka kemenangan akan digariskan sebagai matlamat.
Ketika dibangkitkan bahawa kenyataan dan notis aktiviti yang kurang sepanjang tempoh ini, Adly menjelaskan bahawa media arus perdana tidak menyiarkan kenyataan mereka biarpun segala-gala ini disediakan. Jadi, mesej gagal sampai ke pengundi, dan keadaan ini tidak membantu dalam aktiviti kempen mereka.
Ada persamaannya dari segi pendekatan yang diambil DAP dalam PRK Merlimau. Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng belum tampil ke Merlimau dalam tempoh dua hari ini. DAP hanya membariskan ahli parlimen seperti Anthony Loke (Rasah), Tony Pua (Petaling Jaya Utara), Charles Santiago (Klang), Teo Nie Ching (Serdang) dan lain-lain di Merlimau. Menurut ADUN Air Keroh-DAP Khoo Poay Tiong (gambar kiri), Lim Kit Siang akan turun pada pada 3 Mac, dan Lim Guan Eng pula pada 4 Mac.
Khoo Poay Tiong mengakui bahawa DAP mengubah strateginya yang menekankan ceramah perdana, kerana mendapati situasi di Merlimau agak berbeza, yang menuntut pemimpin untuk turun ke padang sendiri. Pada masa yang sama, DAP mendapati mereka yang hadir ke ceramah perdana tidak semestinya pengundi tempatan, tetapi penduduk di Melaka yang berada di sekitar Merlimau.
"BN selalunya menghantar perisiknya ke ceramah PR. Mereka akan berdiri di sekeliling, menimbulkan rasa takut di kalangan penduduk tempatan. Penduduk tempatan bimbang tindakan diambil ke atas diri mereka," kata Khoo Poay Tiong.
Pengundi enggan nyatakan pendirian
Menurut pengamatan wartawan, pengundi di kubu tradisional BN ini kurang senang untuk menyatakan pendirian ketika ditanya parti mana yang disokong. Semasa berbual dengan beberapa pengundi muda, dua orang cuba keluar tajuk, seorang lagi pula meminta agar kad wartawan ditunjukkan. Hanya seorang yang berkata, "(Pertarungan yang) sangat sengit, kedua-duanya bagus."
Dalam perbualan bersama beberapa pengundi yang lanjut usianya, mereka enggan mendedahkan nama mereka kepada wartawan. Salah seorangnya bagaimanapun meramalkan 80% warga emas akan mengundi BN, sementara PR akan meraih undi daripada 55% pengundi muda.
Merlimau adalah kawasan campuran dengan majoritinya Melayu. Daripada 10,679 orang undi, 64.9% terdiri daripada Melayu (6935 orang), 20.8% Cina (2218 orang) dan 14.1% India (1510 orang). PR menyasarkan tiga golongan, iaitu pengundi Cina (2,218 orang), pengundi muda (1,300 orang) dan pengundi yang mengundi buat kali pertama (400 orang).
*Ng Boon Hooi adalah penulis khas MerdekaReview di Merlimau. Tulisan ini disedut, diterjemah dan disunting daripada teks asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan