Laporan terhadap Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Farahana Jamaluddin itu dibuat di Balai Polis Anak Bukit, di sini, kira-kira jam 2 petang, semalam.
Setiausaha Pas Kuala Kedah, Ridzwan Abu Bakar berkata, kenyataan Farhana bertajuk ‘Imej Nik Aziz sama Ayah Pin?’ yang disiarkan sebuah akhbar mingguan 6 Mac lalu berniat jahat dan cuba menjejaskan imej Nik Abdul Aziz sebagai tokoh politik dan agama sejak hampir lima dekad lalu.

“Kenyataan ini telah memfitnah Tuan Guru Nik Aziz sebagai orang yang mengangkat diri ke tahap yang suci dan tidak boleh ditegur seperti Ayah Pin.
“Sepanjang lebih 40 tahun penglibatan beliau dalam politik, Tuan Guru Nik Aziz sentiasa membuka pintu untuk berbincang dengan pelbagai pihak bagi tujuan mencari kebenaran dan dakwaan ke atas beliau adalah berbaur hasutan,” katanya sewaktu ditemui :Sinar Harian sejurus selepas laporan polis dibuat.
Ridzwan berkata, tindakan akhbar berkenaan yang memberi ruang kepada kenyataan provokatif ini juga amat biadab yang boleh terus menimbulkan pergeseran dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
“Kedua-dua pihak (Farahana dan akhbar berkenaan) perlu disiasat berkenaan dengan kenyataan berbaur hasutan dan menjurus kepada permusuhan.
“Selain itu, Pas Kuala Kedah turut membuat aduan kepada Pejabat Mufti Negeri Kedah kerana menyifatkan kenyataan media itu dibuat oleh individu yang tidak mempunyai autoriti keagamaan.
“Sekiranya tiada tindakan diambil pihak berkaitan, saya sendiri akan mengemukakan saman ke atas kedua-dua pihak terbabit,” katanya.
Sebelum ini, akhbar terbabit menyiarkan laporan bahawa imej Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh disamakan dengan pengamal ajaran sesat, Ayah Pin kerana menjadikan agama sebagai alat untuk menguasai pemikiran pengikutnya.
Dari Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan