Semalam kita dikejutkan dengan berita Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menipu bekas PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal Projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ).
Beliau dituduh menipu PM ketika itu bagi meluluskan syarikat Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian berjumlah RM1.9 bilion di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006. Beliau bagaimana pun tidak mengaku bersalah dan telah diikat jamin sebanyak RM 1 juta dan kes akan disebut semula pada 31 Mac nanti.
Skandal PKFZ ini bukan baru kita dengar. Pemimpin pembangkang terutamanya DS Anwar lebih awal mendedahkan kes ini, tetapi seperti biasa pemimpin Umno mendakwa DS Anwar suka mencipta isu dan menyebarkan fitnah. Ketika itu Dr Ling Liong Sik yang sebelum ini turut dilibatkan di dalam skandal ini masih menjadi Menteri dan Presiden MCA. Tan Sri Chan Kong Choy juga begitu. Justeru itu, situasi yang selamat buat mereka ketika itu.
Sekarang mereka menjadi `bekas’ dan `power’ pun sudah hilang. Habis sepah, madu dibuang. Tentulah tidak masuk akal jika mahu dakwa Abdullah Badawi atas skandal ini walaupun sepatutnya beliau perlu bertanggungjawab. Mungkin kerana `tertidor’, maka beliau tidak menyedari ada `penipuan’ berlaku. Benar atau tidak Pak Lah ditipu kita tidak tahu tetapi kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah menipu.
Lojiknya, tentulah semasa proses kelulusan projek itu melibatkan banyak pihak bukan di antara Pak Lah dengan mereka sahaja. Agak sukar mahu difikirkan kesemua yang terlibat tidak mengetahui adanya `penipuan’. Jika tahu, mengapa tidak dilaporkan waktu itu kepada PM? Tidakkah itu sebagai satu subahat? Ada dakwaankah kepada yang bersubahat ini?
Akhirnya ada yang berkata wujud `kambing hitam’ untuk menyelamatkan seseorang. Siapa seseorang itu? Atau, sememangnya PM kita ditipu? Jika benar, malang sungguh kita ada PM yang mudah tertipu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan