Pengikut

Jumaat, 25 Februari 2011

Pegawai Penerangan diminta siap sedia hadapi PRU13

Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul mengingatkan kakitangan jabatan itu menggandakan gerak kerja sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Banyak pihak mengandaikan PRU-13 akan diadakan pada masaterdekat. Oleh itu Jabatan Penerangan sepatutnya sudah menekan butang kecemasan, melihat kepada prestasi PRU-12 lalu secara keseluruhannya,” katanya pada perhimpunan bulanan jabatan itu di sini hari ini.


Almain berkata jika diimbas kembali, Jabatan Penerangan sememangnya cukup disegani pada masa lalu, berkat dedikasi dan kecekalan pegawai dan anggotanya dalam memberi khidmat yang amat tinggi.

“Kepentingan perjuangan jabatan ini pada era membanteras komunis misalnya akan kekal dalam lakaran sejarah negara manakala bagi kita di negeri ini, era konfrontasi dengan negara jiran juga tidak lengkap butiran sejarahnya bagi negeri ini tanpa mengaitkan perjuangan pegawai dan anggota jabatan kita,” katanya.

Pada zaman itu anggota jabatan hanya bekerja berbekalkan semangat waja dan ada kalanya perlu menghadapi ancaman seperti lanun jika bertugas di pulau-pulau tetapi jika dilihat hari ini pula, anggota jabatan hampir tidak mampu menyempurnakan tugas dan peranan jika tidak bergantung kepada teknologi yang ada manakala ada pula yang mahu memilih untuk bertugas di kampung sendiri atau tempat asal untuk lebih selesa sedangkan khidmat mereka mungkin diperlukan di tempat lain, kata Almain.

“Natijahnya, kemajuan yang kita kecapi dalam pelbagai aspek pada hari ini, telah menenggelamkan sedikit demi sedikit peranan kita di mata masyarakat sekeliling.

“Saya membawa saudara saudari mengimbas kembali kisah lama tentang perjuangan dan cabaran jabatan kita, dengan harapan kita akan menjadi lebih kuat selepas ini nanti, kerana peranan saudara-saudari di pelbagai peringkat dalam menyebarkan dasar kerajaan, sememangnya amat penting,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan