Pengikut

Isnin, 21 Februari 2011

Betulkah Sarawak Masih 'fixed deposit' BN?

Pilihanraya Sarawak - Masihkah Sarawak 'fixed deposit' BN?

Sarawak akan menghadapi pilihanraya negeri selewat-lewatnya pada bulan Julai yang akan datang. Sarawak sekarang menjadi tumpuan pemimpin-pemimpin parti politik yang akan menawarkan calun masing-masing untuk mendapatkan mandat rakyat bagi menubuhkan kerajaan negeri yang sekian lama dipegang oleh BN hanya dengan seorang pemimpin yang bernama Tan Sri Taib Mahmud (TSTM).

TSTM telah menerajui kerajaan Sarawak selama 30 tahun dan masih lagi mahukan kuasa memimpin itu diberikan kepadanya. Nampaknya Sarawak tidak mempunyai pemimpin lain dari Taib Mahmud kerana semua yang telah dianggap akan menjadi pengganti beliau semuanya sudah bersara dan tidak mahu lagi terlibat dan politik.


Jika BN masih lagi memenangi pilihanraya ini, Taib Mahmud akan duduk menerajui kuasa di Sarawak sekurang-kurangnya selama 35 tahun sebelum menghadapi pilihanraya yang berikutnya. Ini merupakan rekod yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pemimpin di negara ini. Malahan TSTM akan menjadi salah seorang ketua kerajaan yang paling lama dalam dunia ini.

Apa pun alasan yang diberikan oleh mana-mana pihak untuk mengekalkan TSTM sebagai ketua kerajaan sebuah negeri merupakan satu tindakan yang sangat membosankan kerana yang akan dihadapi oleh kerajaan pada masa yang akan datang ialah masalah yang mungkin tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Di Sarawak nampaknya BN terutamanya TSTM sengaja mahu menempah masalah untuk rakyat yang telah begitu lama dikelirukan oleh pemerintah yang tidak mahu mengenali apa itu kebencian rakyat.

Sarawak sedang menghadapi ‘vacuum’ kepimpinan yang sangat besar kerana TSTM tidak pernah mahu mendidik, membentuk dan menyediakan pimpinan lapisan bagi negeri di bawah bayu itu. Tidak ada rekod sesebuah negara itu akan berada di dalam keadaan yang aman politiknya jika dipimpimpin oleh seseorang dengan begitu lama.

Pilihanraya akan tiba tidak beberapa bulan sahaja lagi dan pemimpin-pemimpin pusat mundar mandir ke Kuching seperti orang keluar masuk jamban untuk berkempen bagi meneruskan kenikmatan pimpinan yang ada pada hari ini yang kian hari kian jelas merasakan yang negeri itu adalah kepunyaan peribadinya.

Persoalannya, sampai bila TSTM hendak menongkat langit? Sampai semua kompartmen balak habis? Sampai semua tanah-tanah negeri terjual?Atau sehingga ada di kalangan ahli keluarga beliau mampu mengambil alih tempat beliau? Atau apa?

Tidak adakah walaupun seorang dari 3 juta rakyat Sarawak yang berkemampuan untuk mengambil alih kerajaan dan memimpin Sarawak? Apa lagi alasannya?

Tidak adakah kemampuan pucuk pimpinan persekutuan untuk menasihatkan Ketua Menteri ini untuk melepaskan jawatannya untuk mempastikan rakyat Sarawak tidak merasa resah dengan pimpinannya? Kalau pucuk pimpinan boleh menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk mengenepikan kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat di Semenanjung dengan cara haram, kenapa tidak ada pula kudrat untuk menasihati TSTM untuk mengundurkan diri secara terhormat?

Sekarang semua di pihak kerajaan sedang melutut dan meminta agar kaum Cina di Sarawak memberikan sokongan kepada BN dengan alasan hanya BN sahaja yang mampu untuk menyelamatkan masa depan mereka. Ini adalah disebabkan pengundi-pengundi Cina lebih tertarik untuk mengundi pembangkang khususnya DAP.

Kemenangan DAP dalam pilihanraya kecil Sibu telah memberikan semangat DAP untuk menawan kerusi-kerusi bandar dan kawasan sub-urban di Sarawak. Dengan kembalinya SNAP dalam politik Sarawak pula akan memberikan tekanan kepada BN didalam 29 kerusi Iban dan Dayak selain dari beberapa kerusi yang pasti akan menerima cabaran besar di dalam pilihanraya negeri kali ini.

Sarawak telah dikatakan sebagai fixed-deposit bagi BN kerana semasa pilihanraya Mac 2008 yang lalu pembangkang hanya memenangi 13 kerusi DUN dan satu kerusi parlimen iaitu di Bandar Kuching yang dimenangi oleh DAP. Pada tahun yang lepas BN telah kehilangan kerusi parlimen Sibu kepada DAP di dalam pilihanraya kecil. Dengan 2 kerusi parlimen DAP, parti itu kini sedang mendapat suntikan semangat yang kuat untuk mendapatkan kerusi tambahan di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Isu yang laris semasa pilihanraya di Sibu adalah isu TSTM sahaja.

Jika DAP mampu mengekalkan sokongan kaum Cina di Sarawak ianya akan terus menambah bilangan 13 kerusi pembangkang di Dewan Undangan negeri Sarawak. Jika SNAP yang kini kembali ke arena politik negeri itu secara giat maka tidaklah mustahil jika parti itu akan berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya belasan kerusi dikawasan Iban dan Dayak. Berlaku sahaja keadaan ini maka Sarawak tidak akan lagi menjadi fixed-deposit bagi BN.

Saya sendiri menjangkakan BN akan berjaya mempertahankan kerajaan negeri di bawah bayu ini, tetapi bolehlah kita anggapkan kemenagan seperti yang diperolihinya seperti dahulu tidak akan berulang lagi. Keadaan inilah yang akan mempengaruhi keadaan di semenanjung dan di Sarawak sendiri di dalam pilhanraya yang akan datang.

Harapan BN untuk mendapatkan majority 2/3 di Dewan Parlimn jika 5 peratus dari pengundi Melayu kembali kepada BN akan melesat jika 25 peratus tambahan rakyat di Sarawak dan Sabah yang akan mengundi pembangkang.

Kalau di kaji halus-halusan kenapa BN menghadapi keadaan seperti ini, ialah kerana rakyat sudah nampak dan merasakan dengan jelas yang pemimpin-pemimpin BN baik di Semenanjung mahu pun di Sabah Sarawak terlalu mementingkan politik dan kuasa peribadi. Dibawa bersama dalam ‘package’nya ialah rasuah dan salah guna kuasa yang tidak mengenal batasnya.

BN pimpinan TSTM selama ini menguasai pengundi dengan wang ringgit yang besar. Lagi pula pembangkang tidak dapat untuk mendekati pengundi di pedalaman. TSTM selalunya akan menggunakan kuasanya untuk menyekat perjalanan pemimpin pembangkang ke pedalaman dengan tidak membenarkan kapal terbang kecil yang membawa pemimpin pembangkang di kawasan pedalam yang jauh itu.

Jika pihak pembangkang benar-benar hendak pergi ke pedalaman itu mereka terpaksa pergi sekurang-kurangnya seminggu sebelum penamaan calun dan duduk di tempat yang di tetapkan sehingga hari mengundi. Pembangkang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menyaingi kemampuan kewangan TSTM seorang. Itu tidak termasuk sumber kewangan yang bertimbun dari Kuala Lumpur.

Walau bagaimana pun adalah terlalu awal untuk memberikan ulasan yang tepat kerana di dalam politik bermacam-macam dan berbagai kemungkinan boleh berlaku. Tetapi alangkah baiknya TSTM bersara sahaja dari membiarkan pemimpin-pemimpin BN negeri dan pusat berhempas pulas untuk mempertahankan BN kerana kerakusan seorang pemimpin seperti TSTM.

Inilah akibatnya jika politik itu dijadikan kepunyaan peribadi dan keluarga seseorang pemimpin.


Dari Aspan Alias

Tiada ulasan:

Catat Ulasan