Umno-Barisan Nasional dikritik kerana mengamalkan dwi standard dalam isu azan di Lembah Pantai yang melibatkan seorang ahli MCA, ujar Tony Pua.
Pua dalam satu sidang media hari ini mempersoalkan sama ada BN akan memaafkan perkara itu jika ia berlaku terhadap ahli Pakatan Rakyat.
Aduan berkenaan azan dibuat oleh Ng Kian Nam serta mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat Islam dinegara ini.
“Saya merasakan permohonan maaf itu perlu diterima. Saya tidak fikir perkara itu perlu dibesar-besarkan,” kata Setiausaha Publisiti DAP itu.
Tambahnya, pada pihak Pakatan Rakyat soalnya bukan mengenai permohonan maaf dibuat oleh peguam yang membuat aduan tetapi sikap pilih kasih diamalkan Umno.
Katanya, memandangkan ia melibatkan wakil MCA, kes ditutup dengan cepat dan dipastikan agar tidak menjadi satu isu berpanjangan.
Semalam, Ng Kian Nam memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini atas kesilapannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.
“Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam di negara ini di atas salah faham yang terjadi. Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh),” katanya pada sidang media.
Dalam satu surat bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng, meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.
Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.
Bagaimanapun kata Pua, isu azan itu sudah pasti menjadi tajuk muka depan akhbar-akhbar dimiliki Umno khususnya Utusan Malaysia jika membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.
Katanya, Pakatan Rakyat juga sudah pasti dilabel sebagai tidak sensitif dan dipanggil sebagai rasis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan