Pengikut

Ahad, 30 Januari 2011

PAS Gesa SPR Tangguh Sebab Banjir


PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dun Tenang hari ini ekoran kebanyakan kawasan terputus hubungan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, SPR perlu segera membuat keputusan itu ekoran pengundi kini tidak boleh keluar akibat hujan lebat dan banjir dipetik Harakah Daily.

"Saya minta SPR menangguhkan proses pengundian hari ini kerana hujan lebat dan banjir.

"Pengundi kini sudah terputus hubungan kerana jalan sudah ditutup dan ada dikalangan mereka takut meninggalkan rumah untuk keluar mengundi ekoran banjir di kawasan mereka," katanya.

Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan Labis kini terkepung oleh banjir dari kedua dua arah jalan masuk Segamat dan Yong Peng.

Manakala di Tenang sendiri, beberapa kawasan kini ditenggelami air dan penduduk sedang giat dipindahkan oleh pihak keselamatan termasuk pasukan tentera dan Pertahanan Awam Malaysia.

Laluan di Tenang Stesen ditutup sejak jam 12 tengahari tadi ekoran paras air tinggi mencapai lebih satu meter.

Jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamarul Ariffin menuju ke Air Panas turut ditutup.

Ianya sekaligus menghalang pergerakan penduduk yang mahu keluar mengundi.

SPR sebelum ini menjelaskan, proses pengundian tetap akan diteruskan kerana banjir hanya melanda kawasan kediaman penduduk dan bukan tempat mengundi.

Mereka turut menyediakan kenderaan bagi mengangkut pengundi ke tempat mengundi.

Namun menurut Mahfuz, keadaan kini bertambah buruk ekoran hujan lebat masih tidak berhenti, dan beberapa jalan lagi telah dinaiki air.

"SPR perlu tegas dan jangan hanya menjaga kepentingan Umno BN sahaja," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan