Pengikut

Jumaat, 14 Januari 2011

Pakatan Rakyat Bentang Dasar Ekonomi Lebih Efektif

Pakatan Rakyat (PR) akan membentangkan dasar ekonomi alternatif pada Konvensyen Ekonomi yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mac nanti.

Program julung kali anjuran Pakatan Rakyat ini akan berpaksikan pendekatan "reformasi ekonomi politik" yang menawarkan penghijrahan dasar pelaksanaan ekonomi yang lebih efektif justeru mengasingkan diri daripada pendirian Umno-Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang ditemubual Tv Selangor berkata, sudah sampai masanya kerajaan Pakatan Rakyat membentangkan model pemulihan ekonomi kepada rakyat berdasarkan program yang disenaraipendekkan.

Tambahnya, tawaran ini membolehkan rakyat menilai kesungguhan kerajaan Pakatan Rakyat menyelamatkan ekonomi daripada terus merudum di bawah kelolaan Umno-Barisan Nasional.

"Jadi isu dalam negara kita ini bukan hanya tentang mikro-ekonomi tetapi sebenarnya ekonomi politik. Permasalahan (ekonomi) di negara kita ini, dalam sudut ekonomi bukan setakat pertumbuhan yang kita capai, berapa FDI yang kita jana, bukan itu semua. Ia merupakan reformasi politik yang selari dengan reformasi ekonomi," ujar beliau.

Semalam, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pakatan Rakyat akan mengajurkan konvensyen ekonomi pada bulan Mac, menjemput rakyat untuk menilai keberkesanan pelan perubahan dalam sektor ekonomi negara yang ditawarkan Pakatan Rakyat.

Dr Dzul yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat memberi gambaran bahawa fokus pemulihan ekonomi Pakatan Rakyat pada konvensyen itu nanti akan menekankan aspek pelaburan, teknologi dan tenaga kerja.

Menurut beliau, negara tidak boleh mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi kecuali isu produktiviti dan nilai ekonomi tambahan tidak dapat dibekalkan kerana kekurangan pasaran kerja berpengetahuan.

Katanya lagi, tumpuan harus diberikan kepada pendidik yang menjadi aset untuk menghasilkan tenaga kerja yang bersifat kompetetif dan berilmu.

Justeru kata beliau, penstrukturan semula dasar ekonomi dan pemerintahan menjadi faktor utama.

"Ini yang perlu konvensyen (ekonomi) Pakatan Rakyat kemukakan. Satu kerangka pemikiran ekonomi yang keluar daripada kerangka lama. Contohnya kalau kita bercakap tentang ekonomi berpendapatan tinggi, pendekatan itu tidak akan berjaya walaupun program mega boleh disusun. Ini tidak akan berjaya kalau tidak menggarap permasalahan besar seperti faktor penstrukturan," katanya.

Beliau turut mengkritik program kerajaan Umno-Barisan Nasional yang lebih bersifat fizikal.

"Yang saya nampak sehingga hari ini, khususnya ETP pada saya melakukan benda yang sama dengan lebih banyak. Dia tidak akan membawa perubahan dan anjakan. Kalau anda buat perkara yang sama anda mendapat hasil yang sama.

"Jadi maknanya sebab itu pendekatan kita adalah ekonomi politik. Itu satu perbezaan besar. Kita faham target mikro ekonomi dan sebagainya tapi akhirnya pendekatan kita adalah pendekatan integratif. Berpaksikan reformasi politik berdasarkan penilaian ekonomi," jelas beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan