Dua memorandum akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agung dan Perdana Menteri berhubung tindakan Datin Seri Rosmah Mansor yang dianggap biadap serta derhaka ekoran menggunakan gelaran wanita pertama dan mencampuri urusan rasmi kerajaan.
Seorang jurucakap memberitahu FMT bahawa memorandum yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor ini akan dibawa oleh kumpulan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pertubuhan politik dan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurut jurucakap kumpulan yang bakal menggerakkan penyerahan memorandum ini menjelaskan dua memo berasingan dengan isu yang hampir sama akan diserahkan kepada YDP Agong dan Najib setiap satu.
Menurut sumber itu, antara isi kandungan memorandum kepada Seri Paduka ialah memohon agar pihak istana campur tangan atau menyatakan pendirian berkenaan penggunaan gelaran Wanita Pertama oleh Rosmah.
“Sebagai rakyat yang kasihkan Rajanya, kami hanya memohon pihak istana menyatakan pendirian dan membuat teguran tegas kepada sesiapa sahaja yang menggunakan gelaran Wanita Pertama selain Permaisuri Agung.
Katanya lagi, lebih malang lagi apabila Rosmah turut menunjukkan sikap angkuhnya apabila dengan beraninya menggunakan gelaran Wanita Pertama walaupun telah dikritik hebat sebelum ini.
‘Rosmah semakin angkuh’
“Rosmah semakin angkuh dan keterlaluan nampaknya. Ini bukan kali pertama. Dahulu pun masa lawatannya ke Amerika Syarikat dan menganjurkan Persidangan Wanita Pertama pun telah dikritik hebat tetapi mungkin tidak ditegur oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional menyebabkan dia semakin berani. Ini adalah biadap dan derhaka kepada Agong dan Permaisurinya.
“Tindak-tanduk Rosmah semacam mahu cuba menjadikan gelaran wanita pertama sebagai gelaran yang sah dan gelaran rasmi untuk isteri PM, iaitu dia sendiri,” menurutnya lagi.
Beliau juga memberitahu, keputusan untuk menghantar memorandum kepada Istana Negara tersebut dibuat apabila melihat Najib dan pemimpin Umno lain gagal menasihati Rosmah apatah lagi untuk mengambil tindakan yang wajar.
“Memandangkan situasi sekarang seolah-olah menggambarkan tiada apa yang dapat dibuat oleh Najib dan pemimpin Umno lain, maka kerana itulah kami berharap pihak istana campur tangan dalam hal ini.
Lebih-lebih lagi isu wanita pertama ini memang melibatkan pihak istana secara langsung,” ujar beliau.
Perkasa tidak bersuara
Menurut salah seorang dari kumpulan tersebut yang mengaku sebagai ahli Perkasa berkata, beliau kecewa apabila pemimpin tertinggi Perkasa tidak bersuara berhubung isu yang melibatkan pihak istana ini.
“Selalunya Perkasa tegas dengan sebarang isu yang membabitkan institusi raja-raja Melayu. Tetapi dalam isu ini, yang jelas nampak ada pihak yang sewenang-wenangnya guna gelaran yang sepatutnya untuk Permaisuri Agung, Perkasa tak keluar apa-apa kenyataan pun.
“Itu yang saya kecewa. Sebab itulah saya sertai kumpulan ini tetapi bukannya kapasiti sebagai ahli Perkasa, ini adalah secara peribadi saya dan dua rakan saya yang lain juga dari Perkasa.
Menurutnya lagi, selain individu dari Perkasa, beberapa pemimpin dan ahli beberapa parti politik yang berlainan idealogi daripada Pakatan Rakyat dan BN turut terlibat dalam rancangan itu.
“Selain saya dan dua rakan dari Perkasa, rakan kami yang lain ialah dari Umno, PKR dan PAS. Mereka sama juga seperti saya, bertindak bukan atas kapasiti parti politik masing-masing.
“Lagipun tiada sesiapa di antara kami yang memegang sebarang jawatan di peringkat pusat dalam parti atau pertubuhan masing-masing. Paling tinggi pun hanya dua, tiga orang peringkat daerah dan mungkin akan disertai oleh seseorang di peringkat negeri nanti,” katanya lagi.
Menyeru parti politik dan NGO turut bertindak
Jurucakap kumpulan ini juga menyeru agar mana-mana pihak tanpa mengira parti politik yang mampu mengatur gerakan penyerahan memorandum ini turut berbuat demikian.
“Saya menyeru kepada mana-mana pemimpin tak kira parti politik atau NGO, agar turut mengatur satu rancangan untuk menyerahkan memorandum ini kepada Seri Paduka seperti yang telah dibuat dalam isu air negeri Selangor.
Mungkin jika mereka yang mengaturnya ia lebih mendapat sambutan rakyat, ada pengalaman untuk menyusun dan merancang strategi berbanding kami dan boleh beri kesan yang lebih baik,” ujar beliau.
Manakala, memorandum yang dirancang untuk diserahkan kepada PM pula akan menyentuh penglibatan Rosmah dalam urusan rasmi kerajaan termasuk membantah kewujudan Pejabat Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di Putrajaya.
Menurut mereka penglibatan Rosmah dianggap semakin serius sehingga membelakangkan menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam sesuatu kementerian seperti Kementeriaan Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Rosmah mencampuri urusan negara
“Nampaknya semakin lama, Rosmah semakin galak mencampuri urusan kerajaan hinggakan kadang-kala lagaknya seperti seorang Menteri Pelajaran, Menteri Hal Ehwal Wanita pun ada dan sebagai duta pun ada,” menurut sumber itu lagi.
Beliau turut mempersoalkan dan melahirkan kekesalan apabila Najib bukan sahaja dilihat gagal untuk menegur isterinya itu, malahan turut pada masa tertentu menyerlahkan pendirian beliau yang menggalakkan tindakan isterinya itu.
“Mengapa Najib tidak menegur atau mungkin juga PM sendiri yang memberikan galakan kepada Rosmah?” soal beliau.
“Yang hairannya, takkanlah Najib tidak nampak apa-apa yang tak kena tentang ini? Penasihatnya butakah untuk memahami ia memberi impak negatif kepada PM?
“Terus terang saya katakan isu ini bukan sahaja menjadi bahan serangan PR tetapi orang-orang dalam Umno sendiri pun ramai yang mengadu meluat dengan situasi ini,” tambah beliau.
* Sumber Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan