Pengikut

Isnin, 31 Januari 2011

Lupakan ‘dacing sengget’, fikir-fikirkanlah ‘dacing akhirat’

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Jika salah seorang antara kamu minum maka janganlah bernafas di dalam bejana (tempat air minum). Jika kamu ke bilik air maka janganlah menyentuh kemaluan dengan tangan kanan, dan janganlah beristinjak dengan tangan kanan." (HR. Bukhari dan Muslim)

***

NAMPAKNYA dacing telah menang di Tenang. Menjelang pilihan raya kecil di Dun itu 30 Januari lalu dacing mengamuk sakan. Dacing berada di mana-mana. Dacing mendominasi ruang dan tempat. Tengok kiri dacing, tengok kanan dacing. Tengok depan dacing.

Namun dacing berimbang atas kayu atau besi ini sudah ketinggalan zaman - orang sekarang pakai dacing elektronik atau dacing ada muka, malah kedapatan dacing dua muka agar pelanggan tidak ditipu. Mungkin tidak ada orang lagi pakai dacing berimbang ini. Namun jika ada yang memakainya pun, orangnya pasti berslogan dulu, kini dan selamanya. Tak nak bertukar, jumud. Masih nak pakai dacing berimbang sekalipun ia sudah sengget.

Hendak bernostalgia pakai dacing berimbang tidak salah, yang salahnya menipu timbangan dalam bisnes. Ertinya menyalahgunakan dacing. Dalam Islam, menipu dalam bisnes adalah kesalahan amat serius; dalam al-Quran ada kisah umat Nabi Shuib dimusnahkan kerana cenderung menipu dalam bisnes.

Orang menipu tatkala menggunakan dacing sebenarnya tidak ingat akan dacing paling hebat iaitu dacing akhirat atau dalam istilah agama disebut timbangan amal (mizan). Setiap perbuatan manusia akan ditimbang walaupun sebesar zarrah (atom). Firman Allah SWT dalam Ayat 7 Surah Al Zalzalah, bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun nescaya Dia akan melihatnya (menilai)."

Dalam hidup bermasyarakat, atau norma manusia bertamadun, seseorang itu tidak boleh menilai dirinya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, kerana ketelitian bangsa ini, ada satu peribahasa menyebut 'masuk bakul angkat sendiri'.

Sekarang BN masuk dacing, selepas itu angkat sendiri. Sebab itu apabila harga barangan keperluan seperti gula dan harga minyak serta gas naik, orang yang masuk bakul ini (dacing) akan berkata 'kenaikan ini tidak membebankan'.

Mana ada beban, dia sendiri sudah masuk dalam bakul. Yang menanggung beban adalah orang di luar bakul (luar dacing). Orang dalam dacing, semuanya kata tidak membebankan. Betullah tu, sebab dia berfikir dalam timbangan dacing. Macam ikan busuk atau ayam pencen sudah masuk dacing, takkan boleh menjerit, aku beratlah!

Memang hebat fikiran orang Melayu dulu. Mereka mencipta simpulan bahasa, peribahasa yang cantik-cantik itu sebagai iktibar untuk orang kemudian. Orang Melayu dacing tidak faham kecantikan dan keindahan bahasa Melayu. Sebab itu mereka menginggeriskan Sains dan Matematik.

Berbalik kita kepada peribahasa 'masuk bakul angkat sendiri'. Adalah normal dalam masyarakat, seseorang yang jahat tidak akan berkata dia jahat. Seorang pencuri tidak akan berkata dia pencuri.

Seorang penyamun tidak akan mengaku dirinya penyamun. Sebaliknya apabila berlaku sesuatu kecurian dalam sesebuah kampung, si pencuri yang terperangkap akan menjerit, mengejar orang lain dengan mengatakan orang lain sebagai pencuri.

Apa yang berlaku sepanjang zaman, seorang penyamun atau perasuah akan pura-pura buat baik bagi menutup 'kepenyamumannya'. Orang puasa dia puasa. Orang raya dia pun raya. Orang bayar zakat fitrah, dia pun bayar zakat fitrah. Orang naik haji, dia pun naik haji. Itulah penyamun tarbus namanya. Banyak filem sudah dibuat mengenai hal ini. Jadi apa nak dihairankan jika penyamun tarbus dacing mengaku dia terbaik di dunia ini.

Dalam masyarakat Melayu, adalah pelik seseorang itu mengaku dia baik. Orang Melayu ini pemalu. Orang Melayu yang baik tidak mendabik dada dia baik. Sebab baik itu adalah penilaian orang.

Apabila seseorang itu mengaku dia baik atau mengiklankan bahawa dia baik, tentulah ada yang tidak kena dengan dirinya. Apabila orang mendakwa dia baik, hampir pasti dia tidak baik atau ada 'wayarnya putus' (short-cicuit).

Orang Melayu halus dalam budi bicaranya. Ada yang gemar bercakap 'cara kebalikan' (reverse). Apabila seseorang anak terjatuh kerana memanjat pokok, bapanya akan berkata, "panjat, panjat, panjat lagi", tetapi hakikatnya si bapa tadi tidak mahu si anak memanjat pokok lagi. Demikian betapa hebatnya orang Melayu berbahasa!

Tetapi apa yang dacing sudah buat? Dacing mengiklankan dia hebat! Kalau digunakan pendekatan 'reverse' tadi, hakikatnya dacing itu tidaklah hebat. Kalau dacing kata pendidikan percuma, ia bermaksud pendidikan tidak percuma.

Tanyalah mana-mana ibu bapa yang mendaftar anak-anak ke sekolah baru-baru ini. Mana ada pendidikan 'free'. Bagi seorang anak, kos ke sekolah rendah pada penggal baru lalu adalah antara RM100-RM300. Anak sekolah menengah pula (asrama) kosnya antara RM500-RM1,000. Betul buku teks adalah 'free', tetapi janganlah berbohong menyatakan pendidikan 'free'.

Dacing memang suka cakap 'reverse'. Katanya jangan berpolitik di bangunan sekolah, masjid dan tempat awam lain. Jangan guna harta kerajaan ketika berkempen, tetapi dia buat. Katanya, jangan hasut rakyat, dia yang mempropaganda rakyat. Mana tidaknya, buka saja radio atau TV, akan terdengarlah dakyah murahan..."Kerajaan dacing telah buat itu, telah buat ini...kejayaan sana, kejayaan sini...cemerlang, gemilang, terbilang..."

Kalau dacing telah buat semuanya, orang lain selama ini buat apa? Selepas itu dibilang pula, "pembangkang huru-hara...rakyat tidak selamat...bla,bla." Demikiannya kerja dacing siang dan malam. Petugas penyiaran, wartawan yang mengaku beriman, tidak takut dosakah berbohong menyatakan dacing baik-baik saja?

Akhir sekali dengarlah nasihat terakhir yang terbaik mengenai hal ehwal dacing ini. Dacing dunia ini lazimlah sifatnya tidak adil. Kerap sengget. Kuasa, pangkat dan duit boleh membeli dunia ini. Bolehlah masuk bakul (dacing), angkat sendiri.

Tetapi semua mahu ingat ada satu lagi dacing iaitu timbangan amal (mizan) yang maha tepat. Ketika diadili dacing ini, tidak lagi 'can' (chance) masuk bakul angkat sendiri!


Dari Lanh Sr

Tiada ulasan:

Catat Ulasan