Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Barisan Nasional (BN) berupaya untuk merampas balik satu atau dua negeri daripada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 atas alasan perikatan muda tiga komponen itu berada dalam keadaan goyah, demikian menurut laporan Bloomberg hari ini. Bagaimanapun beliau berkata, BN kemungkinan “tidak akan mendapat majoriti dua pertiga (di Parlimen) bagi membolehkan mereka menerajui kerajaan (persekutuan) dengan majoriti selesa.”
Bekas perdana menteri ini memberitahu Bloomberg dalam satu wawancara kelmarin bahawa BN “kemungkinan boleh mendapatkan semula satu atau dua negeri.”
Dr Mahathir melahirkan pendirian itu di sebalik spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum pada suku pertama tahun depan.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat Sabtu ini, dipercayai untuk merangka persediaan ke arah pilihan raya umum ke-13.
Sumber-sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa BN melihat bulan-bulan akan datang sebagai tempoh yang penting memandangkan perikatan tersebut akan mengambil kesempatan daripada persekitaran politik semasa khususnya dalam Pakatan Rakyat selepas Datuk Zaid Ibrahim memutuskan untuk keluar PKR.
Kejayaan BN dalam dua pilihan raya kecil serentak awal bulan ini dilihat sebagai sumber pemulihan keyakinannya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Buat masa sekarang partinya tunggang-langgang,” kata Dr Mahathir yang merujuk kepada PKR yang penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir memecat Anwar sebagai timbalannya pada 1998.
Pakatan Rakyat terdiri daripada komponen PKR, DAP dan PAS.
Malah Dr Mahathir juga menyifatkan kepimpinan Najib memperlihatkan “perubahan besar” berbanding era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Mesyuarat Sabtu ini juga diadakan di sebalik tumpuan bahawa pilihan raya umum negeri Sarawak akan dipanggil bila-bila masa dari sekarang.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini beberapa kali membayangkan termasuk ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2010 bulan lalu bahawa kemungkinan pilihan raya umum tergempar akan diadakan dalam waktu terdekat ini.
Bagaimanapun BN masih berusaha untuk menyelesaikan beberapa isu utama, antaranya kes projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), persepsi berkaitan kes liwat kedua Anwar dan punca kematian misteri Teoh Beng Hock ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang inkuirinya masih berjalan, sebelum memanggil pilihan raya umum tergempar.
The Malaysian Insider difahamkan pemimpin-pemimpin BN telah bersetuju agar isu-isu ini ditangani bersama keperluan persekitaran ekonomi meyakinkan dan kondusif diwujudkan sebelum dengan penuh yakin BN boleh membubarkan Parlimen dan memanggil pilihan raya umum ke-13.
Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013.
Sebelum ini, The Malaysian Insider ada melaporkan bahawa pemimpin-pemimpin bawahan mahu Najib melewatkan sebarang kemungkinan memanggil pilihan raya umu tergempar.
Mereka yang menentang idea pilihan raya umum awal berpendapat bahawa Najib tidak harus menganggap populariti peribadinya yang tinggi bermakna sudah mula diterima rakyat selepas prestasi BN yang tidak memuaskan pada 8 Mac 2008.
Menurut kajian Merdeka Center Mei lalu, populariti Najib, yang mengambil alih jawatan perdana menteri April 2009, telah meningkat sehingga 72 peratus.
-The Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan