Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu memberi fokus kepada pelan bertindak yang komprehensif — Reformasi 3.0 — bagi memastikan kejayaan cita-cita memerdekakan Malaysia daripada cengkaman Barisan Nasional (BN).
“Kini kita tiba di persimpangan besar Reformasi 3.0 yakni usaha menyeluruh kita memuktamadkan cita-cita menuju Putrajaya.
“Ini adalah landasan bertolak dalam perjalanan kita membebaskan Malaysia daripada BN.
“Pemilihan 2010 adalah titik mulanya. Kebijaksanaan anggota untuk memilih pemimpin yang paling sesuai untuk memimpin PKR, khususnya AMK yang menjadi barisan hadapan dan benteng pertama perjuangan, akan menjadi penentu masa depan reformasi,” kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Sehubungan itu beliau mengemukakan tiga garis besar untuk memandu AMK iaitu memperkasakan organisasi dan pengurusan AMK, penggemblengan tenaga dan jaringan generasi muda dan membentuk semula citra Malaysia berpaksikan nilai.
Dalam ucapan dasarnya yang bertemakan “Himah Suluh Keadilan”, Shamsul Iskandar berkata, AMK berjanji akan memberi tumpuan kepada usaha memperjuangkan hak penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat perbicaraan yang adil dalam kes liwatnya.
Shamsul Iskandar menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional AMK di Petaling Jaya hari ini. — Gambar oleh Jack Ooi
Katanya, usaha untuk Anwar mendapatkan perbicaraan yang adil harus menjadi misi utama sayar pemuda parti itu.
“Usaha menuntut hak Anwar Ibrahim mendapat perbicaraan yang adil ini harus menjadi misi utama kita (AMK). Saya mahu melihat tenaga dan komitmen yang dipusatkan kepada misi ini lebih daripada komitmen dalam pemilihan yang baru lalu.
“Justeru saya mengharapkan seluruh anggota Majlis Pimpinan AMK Pusat dan Ketua-ketua AMK Negeri yang bakal dilantik bersama Majlis Pimpinan di negeri masing-masing memainkan peranan utama di dalam misi ini,” katanya.
Beliau mendakwa perjuangan keadilan untuk Anwar adalah usaha membebaskan sistem kehakiman negara daripada cengkaman BN.
“Sebelum ini rakyat menerima sahaja dengan pasrah keputusan mahkamah. Tetapi kes Anwar Ibrahim telah membuka mata rakyat dan membina keberanian rakyat untuk mempersoalkan keputusan-keputusan yang bertentangan dengan akal budi.
“Tindakan-tindakan pendakwaraya dan hakim dalam perbicaraan beliau ternyata menyalahi norma undang-undang. Bukti dan keterangan cuba disorok dengan menghalang akses untuk pembelaan. Malah hakim sendiri bertindak seakan-akan pendakwa dengan menyerang peguambela,” katanya.
Shamsul Iskandar turut mendakwa BN melakukan segala ikhtiar agar ketua pembangkang itu sekali lagi dipenjarakan.
“Jangan kita biarkan ini terjadi kerana ia akan melengkapkan cengkaman Umno-BN sekaligus menafikan hasrat rakyat untuk melihat tertegaknya kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya ,” katanya.
Selain itu, Shamsul Iskandar turut mengingatkan anggota sayap supaya menumpukan kepada gerak kerja parti dan tidak tertumpu kepada merebut jawatan semata-mata.
“Jumlah jawatan adalah terhad dan tidak semua anggota akan berpeluang menjadi pemimpin. Namun tidak menjadi pemimpin tidak bermakna kita tiada peranan dalam menggerakkan parti dan perjuangan.
“Para anggota dan pemimpin akar umbi yang sebenarnya mempunyai peranan besar memastikan parti terus cergas. Kita bakal berhadapan dengan tugas dan cabaran yang lebih hebat tidak lama lagi. Pilihan Raya Umum Ke-13 yang bakal menjelang menuntut kita untuk bekerja sebagai satu pasukan yang kompak,” katanya.
Dalam ucapan dasar itu, beliau mengingatkan ahli AMK supaya terus memperkukuhkan parti itu.
Shamsul Iskandar juga turut mempertahankan sistem pemilihan parti itu yang berkonsepkan “satu ahi, satu undi”, yang menghadapi pelbagai kritikan daripada dalam dan luar sambil menyifatkan ia hanya “ciptaan manusia”
“Sistem yang digunakan adalah ciptaan manusia. Sudah tentu tidak sempurna. Pelaksananya juga manusia.
“Pengalaman akan menjadikan kita lebih cekap dalam melaksanakannya. Teguran dan saranan akan membantu memperbaikinya,” katanya.
Sehubungan itu, Shamsul Iskandar berkata, jika aduan dan teguran dibuat demi memperbaiki kelemahan yang wujud dalam sistem yang digunakan, tindakan segera mestilah diambil.
“Tetapi kita tidak akan sekali-kali kompromi dengan tindakan menyerang dan menghina parti, menggunakan media musuh untuk membuat pelbagai fitnah dan tohmahan tanpa sebarang bukti yang kukuh.
“Mereka ini menjadi perkakas BN menyerang untuk melemahkan kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan