Pengikut

Rabu, 6 Oktober 2010

Saifuddin sahut cabaran Muhyiddin, dedah nama

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menjawab cabaran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dengan mendedahkan satu nama didakwa mendalangi kekecohan ketika pemilihan cabang parti itu dua minggu lalu.

Selain itu menurut Saifuddin (gambar), beliau sedang meneliti satu lagi nama yang dipercayai ahli sebuah “parti terbesar” dalam Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun beliau enggan menamakan parti itu, tetapi memberitahu akan “checkmate” Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, sebagai sahaja memperoleh maklumat lengkap.

“Ya, boleh sifatkan begitu,” kata beliau ketika ditanya sama ada respons beliau hari ini boleh dianggap sebagai menerima cabaran Muhyiddin minggu lalu.

“Saya ada satu lagi nama, yang tengah saya teliti, yang terlibat di cabang Klang... apabila saya dapat, saya akan ‘checkmate’ Tan Sri Muhyiddin,” kata Saifuddin pada pertemuan khas di pejabatnya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Machang ini memberitahu, selaku pentadbir proses pemilihan beliau menerima cabaran Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Dia kata namakan, saya kata OK. Saya berikan satu nama... Razak Halili, dia bukan anggota parti,” kata Saifuddin sambil menegaskan, Razak adalah antara beberapa individu bukan ahli PKR yang didapati menyebabkan kekecohan di tiga cabang di Selangor dua minggu lalu.

Kata Saifuddin, beliau sebenarnya tidak mengkategorikan mereka sebagai ahli Umno ketika mendedahkan isu berkenaan 27 September lalu.

Pada sidang media 27 September lalu, kata Saifuddin, beliau hanya mengatakan mereka yang dipercayai menyebabkan kekecohan pada waktu “serentak” di tiga cabang berkenaan sebagai individu bukan anggota PKR, segelintir yang mencetuskan provokasi dan sekumpulan ahli PKR.

“Saya tidak sebutpun nama Umno. (Pemimpin Umno) bacalah dulu, adakah saya menyebutkan perkataan Umno.

“Hari ini saja saya sebutkan nama Razak, bekas ahli Umno, masuk Keadilan dan keluar Keadilan... sama ada dia masuk Umno, yang itu Muhyiddin kena semaklah... boleh jadi...,” katanya lagi.

“Tetapi yang di Klang saya sedang tengok, memang ahli satu parti terbesar dalam BN, bukan Keadilan, bukan PAS, bukan DAP... parti itu parti terbesar, agak terbesar juga, dalam BN.

“Bila saya teliti nombor (keahlian), saya akan ‘checkmate’, saya berlapik begitu sekali apabila berdepan dengan isu ini, jangan gopohlah, jangan gelojohlah Timbalan Perdana Menteri... nama (ahli membuat kekecohan di Klang) nanti dulu, saya sedang tengah siasat,” kata beliau lagi.

Razak juga telah membuat laporan polis terhadap kepimpinan cabang Kuala Langat berhubung kekecohan 26 September lalu.

Saifuddin juga berkata Razak pernah memohon untuk kembali menyerati PKR tetapi ditolak.

“Razak asal Umno, kemudian Keadilan. Bila kita kalah teruk tahun 2004, ramai orang tawar hati, dia tulis surat (untuk keluar), saya dapat laporan lengkap, surat... kita ada semua maklumat.

“Kemudian dia pernah memohon masuk parti semula, tetapi parti tidak luluskanlah, kamu keluar ketika parti berada di garis paling rendah tetapi (apabila) parti ada kerajaan, kamu hendak datang balik, jadi ada masalah.

“Jadi bila dalam keadaan begitu, jangan cerai bini senang-senang,” katanya sambil menegaskan Razak juga tidak mengundi pada pemilihan cabang Kuala Langat.

“Dia tidak mengundi, tetapi datang berucap dalam tempat mengundi,” katanya.

Pertengahan minggu lalu, Muhyiddin mencabar Saifuddin supaya membuktikan dakwaannya bahawa pihak luaran telah mensabotaj pemilihan beberapa cabang parti itu 26 September lalu.

“Jika mereka ada isu atau masalah, mereka sendiri perlu memikul tanggungjawab... jangan menyalahkan orang lain.

“Itu adalah masalah mereka,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN.
“Saya mencabar Saifuddin agar memberikan bukti. Beritahu kami siapa dan di mana. Jika orang luar bermaksud kami (Barisan Nasional),” kata beliau.

Dalam kenyataan minggu lalu, Saifuddin berkata kekecohan yang berlaku pada mesyuarat agung dan proses pemilihan peringkat cabang PKR di beberapa lokasi kelmarin terpaksa ditangguhkan kerana beberapa isu termasuk kerosakan kotak undi oleh orang luar.

Saifuddin berkata Jawatankuasa Pemilihan Pusat telah mengenal pasti beberapa individu melalui rakaman video dan foto, yang didakwa terbabit dalam perbuatan vandalisme.

“Melalui rakaman foto, petugas kami mengesahkan individu yang dikenal pasti bukan ahli parti, cuba mencemarkan imej PKR.

“Kami boleh mengesahkan wujudnya elemen provokasi kerana apa yang berlaku sama sahaja caranya iaitu kotak undi dipecahkan, kertas undi diselerakkan dan selepas itu mereka beredar,” katanya.

Malah, anggota Majlis Pimpinan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie pula mendakwa kekecohan di cabang PKR Kapar, Klang, Kuala Langat dan Kota Raja merupakan satu pelan terancang oleh kumpulan yang sengaja mahu memburukkan imej parti.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, kekecohan tersebut didalangi oleh bukan anggota parti dengan niat membuat kekacauan ketika pemilihan.

“Mereka memang dikenal pasti sengaja melakukan provokasi termasuk mengganggu proses pemilihan, merampas kertas dan kotak undi serta menyerbu ke dalam dewan,” katanya.

Shuhaimi, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, mendakwa kumpulan itu merancang pelan itu lebih awal dan mahu menunjukkan pemilihan PKR itu tidak telus dan tidak teratur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan