Persaingan ekoran pemilihan kaedah langsung julung kali diguna pakai termasuk pertarungan jawatan timbalan presiden tidak akan membawa kepada perpecahan ataupun sama sekali tidak akan menghancurkan PKR, kata Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail.
“Apakah melahirkan sokongan akan membawa perpecahan dalam parti, saya tidak fikir begitu,” kata beliau pada satu pertemuan di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau yang dilantik sebagai ketua pentadbir Februari lalu berkata, beliau percaya bahawa sebuah parti yang matang harus boleh menguruskan perbezaan pendapat dengan baik dan ia berlaku dalam PKR dari semasa ke semasa.
Kata Saifuddin, perbezaan pendapat paling besar berlaku dalam sejarah PKR adalah ketika merundingkan idea penggabungan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang membawa kepada PKR.
“Tak ramai orang yang ingat proses percantuman itu memerlukan diadakan tiga kongres khas. Mula-mula di Kelana Jaya, usul bercantum Keadilan dan PRM, tewas dengan 11 undi.
“Maka tak jadilah bercantum,” kata beliau sambil memberitahu, ia telah dibawa ke kongres khas di Kemaman dan Sungai Petani.
Sambil menegaskan pandangan bahawa PKR akan hancur bukan baru pertama kali didengar, kata beliau, ia terus dibangkitkan oleh musuh mereka khususnya Umno dan rakan-rakan mereka sepanjang sedekad lalu.
“Saya masih ingat editorial sebuah akhbar perdana bahawa Keadilan (PKR) ini hancur bersepai dah, sebab kumpulan yang pro-Abim sudah meninggalkan parti, berdondong-dondong, ayat yang digunakan.. dan satu lagi, perpecahan yang tiada perekat, yang boleh mendekatkan (semula). Keadilan dianggap sebagai sesuatu yang palsu,” katanya.
Pun begitu, Saifuddin yang mengetuai proses pemilihan keempat bagi PKR sejak ia ditubuhkan menjelaskan, kemudian PKR terbukti muncul sebuah parti pelbagai kaum yang “gagah selepas episod itu.”
“Kalau percantuman dua parti yang berbeza budaya, berbeza pendekatan, berbeza sasaran kumpulan masyarakatnya boleh dicantumkan dan hari ini boleh bergerak sebagai satu kekuatan, apa sangatlah pemilihan parti.
“Kalau kita boleh melepasi ujian itu dengan jayanya, saya optimis perbezaan, sokongan yang ada sekarang boleh saja didekatkan kembali,” kata beliau.
PKR selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan cabang 3 Oktober lalu tetapi sembilan cabangnya bermasalah.
Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat.
Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Machang menggariskan ukuran tertentu yang boleh menentukan sama ada hancur atau tidak sesebuah parti pilitik.
“Nak tengok hancur atau tidak parti, mesti ada beberapa petunjuk... (antaranya) berapa banyak kerusi Parlimen dan DUN dimenangi?” katanya.
Pada pilihan raya umum 1999 PKR menang lima kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN.
“Kemudian cantum dengan PRM, dan kita tinggal satu kerusi (pada 2004), maka ramai mengatakan bahawa parti ini sudah hancur.
“Kemudian pada 2008, kami memenangi 31 kerusi Parlimen dan DUN 43, ada kerajaan negeri kita kuasai dan ada negeri yang kami menyumbang kepada kerajaan PR, membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Kedah dan untuk tempoh singkat di Perak.
“Kami juga menerima 1.5 juta undi (populariti) dengan bertanding di 68 kerusi (pada 8 Mac 2008). PAS dapat 1.1 juta manakala DAP pula 1 juta undi,” katanya lagi.
Oleh itu Saifuddin berkata, antara pemimpin yang mengasaskan penubuhan PKR 12 tahun lalu berkata, beliau tidak fikir situasi yang digembar-gemburkan seolah-olah PKR sudah hancur atau sedang menuju saat kehancuran hanya kerana persaingan timbalan presiden dilihat begitu tegang.
“Tiada suasana lebih tegang berbanding ketika episod hendak mencantumkan kedua-dua parti. Itu optimis saya berdasarkan fakta-fakta itu,” katanya lagi.
Sementara ramai yang beranggapan bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengekalkan jawatan presidennya, tiga orang telah mengesahkan akan bertanding kerusi nombor iaitu dua naib presiden Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub serta Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim menawarkan diri tetapi belum ada pengesahan rasmi setakat ini.
Kesemua mereka yang dicalonkan perlu mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum 16 Oktober ini.
Daripada 145 bahagian atau cabang, mengikut istilah perlembagaan PKR yang mengadakan pemilihan, sembilan cabang bermasalah yang bersamaan dengan 6.2 peratus.
Saifuddin menegaskan PKR sudah melalui ujian lebih mencabar ketika merundingkan penggabungan Keadilan dan PRM. — Gambar
Serangan Umno-BN
Mengenai serangan musuh PKR khususnya Umno dan BN, Saifuddin juga mengkui Umno dan BN sedang memberikan tumpuan yang luar biasa.
“Dan, diterjemahkan dalam bentuk serangan dan juga pandangan negatif terhadap proses pemilihan PKR kali, saya percaya dengan satu niat iaitu memberikan gambaran bahawa PKR tidak ada kemampuan dan keupayaan untuk menjalankan proses pemilihan parti secara satu anggota, satu undi seperti yang kita laksanakan,” katanya.
Beliau menambah serangan seumpama itu bertujuan supaya rakyat khususnya akan berpaling sokongan yang mereka berikan kepada PKR jika menggambarkan komponen PR ini tidak punyai keupayaan menjalankan pemilihan parti dengan cekap.
“Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana mesyuarat agung tahunan cabang, pemilihan cabang yang berakhir 3 Oktober, walaupun ada kekurangan di sana, di sini, pengalaman pertama PKR dan sistem baru ini akan memberi satu lonjakan semangat dan juga kekuatan baru kepada parti.
“Oleh itu, niat dan tujuan pemimpin Umno-BN untuk menidakkan keupayaan parti, saya percaya akan berkubur begitu sahaja,” katanya.
Saifuddin seterusnya berkata, beliau menilai pandangannya itu berasaskan kepada respons dalam bentuk surat, emel, SMS, panggilan langsung yang diterimanya setakat ini.
“Kalau yang terima itu daripada anggota, saya anggap itu sebagai pujian biasa, tetapi kalau yang memberi maklum balas itu adalah kalangan mereka yang di luar parti, saya anggap ini kejayaan PKR untuk ‘reach-out’ kepada segmen masyarakat yang sebelum ini pasif terhasap isu-isu politik dan pilihan raya,” katanya.
Katanya, antara kesannya ialah mereka memandang tinggi terhadap kesungguhan PKR meneruskan pemilihan parti ini disebut-sebutkan oleh perdana menteri bahawa pilihan raya umum boleh berlangsung bila-bila masa sahaja.
“Kita sanggup berdepan dengan walau apa jua kesan dan akibatnya,” katanya lagi.
“Dan, hari ini terbukti bahawa kekecohan yang berlaku adalah pada tahap yang sangat kecil, tahap minimum.
“Ini memerlukan lagi proses pembelajaran dalam PKR. Itu maklum balas-maklum balas yang paling berharga. Kalau tak berlangsung sistem pemilihan langsung ini, ada elemen dan aspek disiplin, kesedaran terhadap perjuangan parti itu diperkukuhkan,” katanya.
Saifuddin juga menjustifikasikan persekitaran itu dengan berkata, segmen keanggotaan parti itu yang pelbagai, terdiri daripada kelompok intelektual, kelas menengah, sampai ke peringkat masyarakat bawahan, golongan pekerja dan sebagainya.
“Sudah tentulah tahap pemahaman terhadap perjuangan parti akan berbeza,” kata beliau menjawab soalan sama ada benar masalah kekecohan wujud kerana tiada idealisme parti.
“Kenapa Umno tumpu? Lebih kepada mereka hendak menyerang soal keupayaan dan kemampuan parti. Namun hasil adalah sebaliknya.
“Saya melihat bahawa parti telah membuat keputusan yang betul dan kami bergerak di landasan betul, kalau melihat parti masa depan, inilah wajah Malaysia dengan keanggotaan 50 peratus Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus lain-lain.
“Inilah rupa wajah Malaysia akan datang. Kalaulah boleh kita jalankan pemilihan, dan menguruskan parti dengan baik, saya percaya parti mempunyai masa depan yang cerah,” kata beliau sambil menambah, parti berurusan dengan manusia yang ada ego, perasaan dan sentimen yang berlainan.
Saifuddin juga tidak menolak tanggapan bahawa PKR terlalu “bercita-cita tinggi” dalam melaksanakan sistem pemilihan langsung sedangkan Umno, dengan tiga juta ahli, sendiri tidak berupaya disebabkan masalah logistik.
“Ini yang membezakan kita dengan umno. Ada seorang ahli MT Umno berkata PKR terlalu ‘ambitious’, sebab itu juga PKR teruskan juga buat pemilihan.
“Saya tanya kenapa Umno tangguh (sistem pemilihan langsung), dia kata Umno menghadapi logistik. Kalau cukup baru kita di Umno akan melakukan, tetapi saya kata biarlah kami (PKR) lakukan.
“Kita buktikan bahawa daripada 204 cabang, 145 bertanding, daripada situ, sembilan bermasalah. Saya fikir pengalaman yang mahal ini, untuk kita tambah nilai,” kata Saifuddin yang turut mengakui bahawa pihaknya akan melakukan beberapa penambahbaikan selepas ini.
“... misalnya ketua pentadbir (Setiausaha agung) sedang memikirkan perlembagaan parti dalam soal pemilihan.
“Saya hampir pasti akan mengemukakan beberapa cadangan terhadap perlembagaan parti, misalnya pengundian mesyuarat agung tahunan cabang dan pengundian MPP yang jarak masa begitu panjang, ini menyebabkan kesulitan di peringkat kepimpinan cabang untuk melakukan mobilisasi dua kali, maknanya kos, ertinya persiapan logistik.
“Jadi, alangkah baiknya kalau pengundian cabang dan MPP dibuat pada hari yang sama, bagi membolehkan ini berlaku, pindaan perlembagaan parti mesti dibuat,” katanya lagi.
Suasana pemilihan cabang Hulu Selangor pada 2 Oktober lalu, yang menyaksikan pilihan raya kecil April lalu, seolah-olah ia mengadakan pilihan raya.
Kekecewaan
Ditanya sama ada kecewa dengan kekecohan yang berlaku di sesetengah cabang, Saifuddin berkata, “saya, dari sudut pelaksanaan, tentulah saya tidak boleh menyembunyikan rasa kekecewaan.”
“Insiden yang berlaku sebenarnya mampu, boleh dielakkan. Pertama, ia berpunca daripada... saya sendiri salah anggar berkenaan dengan lonjakan keghairahan yang luar biasa, saya salah sangka.”
Sebagai contoh, ada cabang dengan keanggotaan seramai 5,000 orang hanya menyaksikan penyertaan 200 orang pada mesyuarat tahunan 2004 dan 300 orang tiga tahun lalu.
“Jadi, saya kata saya nak cetak berapa banyak kertas undi? Tetapi rekod 2004 dan 2007, hanya 200 dan 300, tidak sampai pun 10 peratus, tak apalah saya kata kalau cetak 50 peratus, saya selamat... 2,500 okeylah, tapi tiba-tiba yang keluar 3,000 orang. Jadi tidak cukup.
“Pada saya perkara itu boleh dielak kalau ada sikap tolak ansur dan persefahaman misal kata... tetapi tidak.
“Ketika pertandingan berlaku suasana tegang, dia akan tengok setiap perkara, dengan teliti. Jadi sebagai pentadbir parti, saya kecewa atau tidak, saya kecewa,” katanya.
“Tetapi sebahagian kekecewaan wujud kerana kelemahan perancangan, di mana kita salah sangka,” jelas Saifuddin.
Selain itu, kata beliau, pihaknya awalnya menganggap persaingan pemilihan adalah pertandingan keluarga, tetapi yang berlaku sebaliknya.
“Kita sifatkan ini sebagai pertandingan keluarga, keluarga besar PKR.
“Rupanya tidak. Kalau namanya pertandingan, setengah daripada calon memandang serius, pemilihan parti mestilah standard SPR. Ini berlaku di Hulu Selangor.
“Ada pondok panas, ada tujuh calon ada tujuh pondok panas. Ada ejen calon... maklumkah dia baru ada pilihan raya kecil (April lalu) setiap undi dia kira, begitu juga berlaku di Kelana Jaya,” katanya.
“Jika ini keadaan, saya melihat SPR tidak akan senang duduk (nanti)... saya fikir ini berjaya melengkapkan dengan pengalaman di mana kepentingan parti akan dipertahankan, dari segi itu, saya terubat sedikit (walaupun ada kelemahan),” tegas beliau.
Bekas setiausaha Pemuda Umno ini juga menjelaskan, insiden kekecohan di Kuala Langat, Klang dan Kota Raja cuma kecil berbanding pengalaman beliau ketika menguruskan sayap parti dominan BN itu.
“Sebab itu, saya tidak risau. Kalau saya lulus sebagai (bekas) setiausaha Pemuda Umno, saya boleh jadi setiausha agung mana-mana parti, dalam hal-hal menguruskan kekacauan ini... jadi ini kecil sangat.
“Menjawab soalan tadi, dalam kekecohan ada kepuasan,” kata beliau.
Mengenai kebimbangan bahawa ekoran kekecohan pemilihan cabang dan pusat akan ada mereka yang mungkin keluar parti, Saifuddin menjawab: “Saya tidak mahu membuat spekulasi, dan saya juga tidak menolak kemungkinan.”
“Apabila ada situasi tidak dapat menguruskan yang kalah. ini menguruskan yang kalah, kalau mereka tidak dapat mengawal sentimen, emosi, dan perasaan sebagaimana saya katakan (tadi), senario paling buruk ialah mereka akan meninggalkan parti,” katanya.
Oleh itu, beliau menasihatkan bahawa parti ada saluran untuk mereka yang ada masalah dengan pemilihan.
Saifuddin juga menolak tanggapan bahawa pemilihan cabang PKR kali ini dicemari dengan sentimen perkauman meskipun ia digambarkan sebagai parti pelbagai kaum.
Kata Saifuddin, beliau boleh menyangkal tanggapan sedemikian kerana walaupun ada cabang yang majoriti ahli mengundi dalam pemilihan adalah orang India, tetapi yang menang calon Melayu.
“Ada cabang yang keanggotaan ramai orang India, tetapi yang menang orang Melayu. Kuala Selangor jelas... Kuala Langat (cabang yang digantung), yang ramai keluar mengundi ialah India.
“Kalau dalam kes Kuala Selangor, ternyata ahli tidak mengundi ikut garisan kaum, dia (ahli) bagi begitu sahaja. Ada cabang, misalnya Grik, yang mempunyai kawasan Felda, ketuanya orang India.
“Saya dapat tengok beberapa cabang, pengundian ada ukuran lain, bukan ukuran kaum,” kata beliau sambil menambah, “kalaulah ada beberapa kejayaan, tidak mengundi ikut sentimen kaum adalah antaranya.”
Jawatan ketua cabang Kuala Selangor dipertahankan oleh Menteri Besar Selangor.
“Sangat menarik sama ada ia paten umum, saya kena buat analisis, tetapi mengikut pemantauan rambang, pengundian tidak ikut sentimen kaum,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan