Pengikut

Jumaat, 8 Oktober 2010

PAS Kepala Batas bantu mangsa ribut

Enam belas buah rumah dari tiga buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Penaga, Kepala Batas rosak dilanda ribut, petang kelmarin.

Angin kencang yang bermula pada waktu Maghrib itu dengan sekelip mata sahaja menerbangkan kebanyakan bumbung rumah.Penyelaras Dun Penaga, Rosidi Hussain bersama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta PAS Kawasan Kepala Batas segera turun padang bagi meninjau kawasan yang ditimpa bencana tersebut.

Semasa tinjauan dibuat sebanyak 12 buah rumah mengalami kerosakan teruk di Lahar Minyak, 3 di Permatang Tok Brain dan 1 di Permatang Tok Labu.

Menurut Rosidi, sumbangan segera yang berupakan bantuan wang tunai telah disalurkan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh kebanyakan mangsa.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Urus Zakat dan orang perseorangan turut memberi bantuan segera bagi membantu kebanyakan mangsa yang tidak sempat menyelamatkan barangan mereka.

"Setelah ribut melanda, hujan pula turun dengan lebat sehingga mengakibatkan ramai terpaksa berlari untuk mendapatkan perlindungan, " katanya.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS kawasan telah mengadakan perbincangan segera dengan Unit Amal bagi membantu untuk memperbaiki sebahagian besar rumah yang terlibat dengan bencana tersebut.

Katanya lagi, bantuan dari segi kepakaran dalam membaiki rumah yang ada pada sebahagian besar Unit Amal dan JKKK serta penduduk kampung akan dimanfaatkan segera bagi membantu semua mangsa yang memerlukan bantuan.

Selain dari bantuan yang diberikan untuk memperbaiki rumah, lain-lain keperluan akan diusahakan segera bagi memberi keselesaan kepada mangsa yang terlibat dalam masa terdekat.

Rosidi juga berkata, tanggungjawab itu adalah sebagai salah satu komitmen yang perlu diberi perhatian oleh semua golongan masyarakat bagi membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira fahaman dan ideologi politik mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan