Briged Muslimat yang ditubuhkan di bawah Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) akan bergerak aktif ke seluruh negara bagi memberikan kefahaman politik kepada golongan wanita muda khususnya peri penting memilih PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.
Ketua DMPP, Nuridah Mohd Salleh berkata, dengan tertubuhnya Briged Muslimat ini, tenaga kerja wanita muda dalam PAS akan digunakan secara tersusun bagi memberi fokus untuk mendekati pengundi wanita.
"Penglibatan dalam Briged Muslimat ini melangkaui bangsa dan kaum asalkan mereka berminat dan bersungguh-sungguh untuk membantu PAS dalam usaha menarik golongan wanita muda untuk menyokong dan seterusnya menjadi ahli PAS," kata beliau dalam sidang media selepas majlis pelancarannya di dewan Perpustakaan Raja Uda, dekat sini, petang semalam.
Pelancarannya disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan turut dihadiri timbalan DMPP, Siti Zailah Yusuf, setiausaha, Kartini Ahmad, pengarah pilihan raya muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud dan ahli jawatankuasa DMPP, Rosni Adam.
Nuridah juga berkata, penubuhan Briged Muslimat ini membuktikan bahawa DMPP memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada muslimat muda untuk memberikan sumbangan kepada parti.
"Muslimat menyediakan satu platform kepada wanita muda yang mahu bergiat aktif dalam parti.
"Penubuhan Briged Muslimat membuktikan bahawa sejak dahulu hingga kini, kami sangat menghargai bahkan mengalu-alukan peranan yang telah dimainkan oleh wanita muda dalam PAS," katanya yang juga ketua muslimat PAS Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai peranan Briged Muslimat dalam masa terdekat ini, Rosni memberitahu, briged ini menggesa kerajaan mewujudkan sistem pendaftaran automatik sebagai pemilih bagi rakyat yang sudah mencapai umur layak mengundi.
"Briged Muslimat juga akan memastikan peningkatan undi wanita muda dalam pilihan raya kecil Dun Galas seterusnya dalam PRU ke-13," katanya.
Briged Muslimat ini juga, ujarnya amat penting memandangkan golongan pengundi wanita muda mewakili pecahan nisbah yang besar daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan