Pengikut

Selasa, 7 September 2010

Pesanan Hari Raya buat anak-anak Selangor

Hari Jumaat ini insyallah kita akan meraikan Eidul Fitri. Ini bermakna umat Islam dalam negara akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing mulai awal minggu hadapan.

Lajnah Penerangan PAS Pusat mengaturkan program Kempen Balik Kampung bagi membekalkan mereka yang pulang ke kampung bertemu sanak-saudara masing-masing dengan bahan-bahan penerangan untuk menjawab dan menyerang propaganda jahat Umno dan BN yang sering bernain di media arus perdana yang dibolot oleh mereka.

Kiranya saya ada saluran atau ruang untuk berbicara dengan golongan sasaran ini di negeri Selangor, di Sabak Bernam, di Sungai Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan lain-lain pelusuk Selangor, saya akan katakana.

PERTAMA: Yakinlah di Selangor ini walaupun media arus perdana menyerang dan memperlekeh kita, rakyat Selangor celek. Mereka dapat mengukur, melihat dan menyukat apa yang telah berlaku dan apa yang sedang berlaku. Hari ini dengan semalam jauh bezanya walaupun semalam itu lebih 50 tahun lamanya sedang hari ini baru 2 tahun 6 bulan.

Dalam tempoh yang singkat hari ini banyak noda dan kepincangan yang lampau telah berjaya dikikis dan diubati.

KEDUA: Kita mampu memperkasakan kedudukan hari ini, menjadi lebih baik, lancar dan licin. Lebih bermakna sehingga tiada lagi gusar dan bimbang Mutiara kecil ditangan ini mampu berkilau mampu menyerlah menerangi dunia, pokoknya adalah pada kita.

Oleh itu bangkitlah anak-anak Selangor di setiap ceruk, mempertahankan kerajaan yang ada ini dan mengembalikan ia dengan kekuatan yang lebih kukuh untuk terus memimpin membawa kebaikan dan kesejahteraan buat semua.

Gabungan PAS,PKR dan DAP memang baru buat negeri ini. Tetapi yang baru ini muncul bukan untuk mengulangi kecurangan mereka yang lampau, ia muncul dengan izin Allah untuk merintis jalan baru, rakyat yang baik di Selangor ini perlukan kepimpinan yang baik dan bermaruah yang memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat selain mampu menjelamkan pembangunan yang bermanfaat. Telus, bebas rasuah dan takut pada Tuhan.

PAS, PKR dan DAP memang punya banyak perbezaan, namun juga ada persamaan. Persamaannya yang jelas adalah ia jujur mahu membela dan memperjuangkan nasib rakyat. Ia benci pada penindasan, benci pada kepincangan, benci pada kezaliman. Bersama ia merupakan satu pakatan yang mahu mengurus negeri yang maju dan kaya ini agar hasil-mahsulnya bukan dibolot oleh kelompok atau puak tertentu, tetapi diurus dengan penuh hemah dan dilimpahkannya kembali untuk dirasai oleh segenap rakyat jelata.

Dalam tempuh 2 tahun 6 bulan ini kita telah saksi dan rasai bersama:

1) Menteri Besar dan EXCO Pakatan Rakyat bekerja bersungguh demi rakyat. Sejak 100 hari pertama memerintah, aset dan harta mereka dipamirkan buat tatapan rakyat. Bagaimana dengan MB dan EXCO yang lalu, agak-agaknya berapakah harta dan aset mereka apabila keluar dari Bangunan SUK pada 8 Mac 2008 lalu? Yang kita tahu bekas MB BN Selangor bina mahligai berjuta ringgit sbeaik keluar dari rumah rasmi kerajaan.

MB dan EXCO PR Selangor bekerja sepenuh masa, tiada yang berniaga atau menyalurkan kekayaan untuk disalah-guna anak-isteri dan kaum keluarga seperti mereka yang lepas. Begitu juga para ADUN PR Selangor. Tiada yang lari dari tanggungjawab, tiada yang mencuri kesempatan seperti amalan dimasa-sama lampau.

EXCO dan wakil rakyat PAS contohnya, sebahagian besar ditauliahkan dan mampu memberi kuliah dan berkhutbah depan rakyat. Mereka bukan sekadar datang mengunjungi masjid dan surau, tetapi mampu membimbing jemaah dan mengimamkan solat, sesuatu yang ganjil diperingkat Selangor sebelum ini.

2) Masjid dan surau di Selangor hari ini berjaya dibebaskan dan diserahkan kembali urusannya kepada ahli-ahli kariah. Sebelum ini institusi agama ini dibolot oleh parti politik. Merekalah yang menentukan pimpinannnya. Hak ahli-ahli kariah dinafikan. Masjid menjadi sejuk dan lesu. Mereka menyenarai hitamkan tuan-tuan guru dan para ulamak yang berwibawa.

Almarhum Dato Ishak Baharom, Prof Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus adalah antara tokoh-tokoh besar yang digam dan doharamkan dari memberi kuliah dan pengajian. Program ilmu, program pemantapan rohani seperti qiyamullail dipandangn serong dan penuh prasangka.

Kini masjid dan surau di Selangor hidup. Masjid diagendakan menjadi wahana transformasi ummah. Yang mahu dibentuk dan dilahirkan adalah anak-anak Selangor yang cinta Islam dan menjiwai Islam sehingga ia menjadi satu cara hidup mereka. Tiada lagi masalah sosial, tiada lagi keruntuhan akhlak, semua menjadi semakin baik dan berguna buat masyarakat.

3) Di Selangor hari ini rakyat beroleh nikmat langsung dari program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Inilah kerajaan negeri pertama yang memberi air percuma kepada rakyatnya (20 meter padu pertama). Bagi jutawan dan hartawan ia mungkin tidak bermakna tetapi buat rakyat jelata kebanyakkan ia sangat bermakna dan dialu-alukan. Begitu juga Selangor hari ini ada TAWAS Tabung Warisan Anak Selangor, ada skim warga usia emas, ada hadiah buat anak-anak kita yang masuk ke IPTA/IPTS, ada Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang.

Perkara-perkara kecil sebegini (Umno Selangor dakwa ia kecil) tidak dipedulikan malah diabaikan oleh kerajaan sebelum ini. Namun bagi kerajaan PR Selangor inilah yang dikehendaki rakyat jelata, keutamaan yang sewajarnya diberikan oleh kepimpinan yang prihatin pada keluhan dan kemahuan rakyat.

4) Prestasi pimpinan masyarakat kerajaan PR Selangor walau dalam tempoh 2 tahun 6 bulan jauh meninggalkan kepimpinan pincang dimasa lepas. Dahulu jawatan Ketua Kampung dipegang oleh “Little Napoleon” lazimnya Ketua Umno atau MIC atau MCA cawangan. Apa sahaja bantuan dan kemudahan peringkat kampung dipolitikkan. Orang kampung menjadi hamba dan terpaksa akur jika tidak mereka dipulau dan disisihkan.

Hari in Ketua Kampung bagaikan wakil rakyat kecil. Mereka berkhidmat untuk rakyat dan menjadipenghubung antara rakyat dan kerajaan. Bukan orang PAS, PKR dan DAP sahaja, orang Umno yang susah juga dibantu. Demikian juga anggota JKKK yang lain, Nazir dan JK Masjid. Begitu juga ahli-ahli majlis PBT. Di bawah kerajaan PR ahli-ahli majlis PBT juga bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penduduk. Perkhidmatan PBT kepada masyarakat menjadi semakin lancar dan efisyen.

5) Untuk Hari Raya tahun ini kerajaan Pusat mengumumkan bonus RM500 kepada kakitangan Persekutuan. Kerajaan Negeri PR Selangor turut memberi jumlah yang sama kepada kakitangan kerajaan negeri malah ia melangkau selangkah lagi dengan turut memberikan hadiah RM250 kepada 5,297 guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (Kafa) yang akan melibatkan pembayaran sebanyak RM1.3 juta.
Sebelum itu pada bulan November 2008 kerajaan PR Selangor telah mengumumkan kenaikan gaji guru-guru KAFA dari RM738.30 ke RM1000, sementara Penyelia KAFA mendapat kenaikan dari RM1112.00 kepada RM1500.

6) Di bawah kerajaan PR Selangor pengagihan kontrak kerajaan menjadi lebih telus dan membuka peluang kepada semua kontraktor Bumiputera yang layak tidak seperti dahulu apabila tawaran sekadar berligar dikalangan beberapa kerat yang tertentu sahaja.

Isu perlombongan pasir yang dipolitikkan oleh pihak Umno dan BN sebenarnya menyembunyikan fakta bahawa di bawah PR tawaran perlombongan pasir ini adalah melalui proses tender. Kerajaan negeri menerima tawaran yang terbaik, tidak seperti dahulu apabila ia didominasi oleh syarikat kaum keluarga tertentu sahaja.

Segala yang disenarikan di atas adalah nikmat yang diperolehi rakyat Selangor apabila mereka menaikkan kerajaan baru ini.

Tugas kita adalah untuk memperkasakan lagi kerajaan yang baik ini dan mengelakkan sama-sekali dari puak pincang yang terdahulu kembali berkuasa merosakkan apa yang telah dipulihkan.

Oleh itu dari Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, rakyat Selangor perlu sedar bahawa mutiara yang ada dalam tangan ini perlu dikekalkan. Sama-sama kita bentuk sebuah pengharapan baru yang lebih baik buat semua setelah laluannya telah dibuka oleh kerajaan baru ini. Kita kikis dan buang saki-baki Umno dan BN yang ada yang cuma kemaruk pada kuasa setelah 2 tahun 6 bulan kehilangannya. Kuasa bagi mereka adalah buat kepentingan peribadi dan kelompok mereka semata-mata sedangkan kuasa yang sebenarnya perlu diguna untuk kepentingan rakyat.

PR Selangor tewas tipis di beberapa kerusi DUN di Selangor. Ayuh kita yakinkan ibu-bapa, sanak-saudara dan kenalan kita bahwa kemenangan yang lebih besar penting buat PR untuk menterjemahkan agendanya dengan lebih bermakna buat rakyat. PAS tewas 45 undi di DUN Seri Serdang, Puchong, 117 undi di Sabak, 123 undi di Sg Air Tawar, 404 undi di Morib, 613 di Taman Templer, 642 di Paya Jaras. Begitu juga DAP dan PKR tewas tipis di kerusi tertentu.

Kita mahu tebus semua kekalahan ini kerana kita mahu bina kerajaan yang tidak lagi memberi peluang kepada gangguan mana-mana pihak. Kita mahu meyakinkan kakitangan kerajaan negeri khasnya para pegawai kanannya bahwa “this state government is here to stay”, mereka samada memilih untuk taat pada kerajaan pilihan rakyat ini atau mereka ikut senasib dengan BN dan Umno Selangor yang semakin nazak.

Sempena Eidul Fitri ini, kembalikanlah kegembiraan sebenar buat rakyat Selangor. Hakikatnya kita telah buat pilihan yang terbaik pada 2008, dan terbukti ia memang baik sehingga kini. Kekalkan pilihan ini dan tambah perkasakan ia. Moga Selangor kekal bermaruah, maju, bersih dan berkebajikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan