Di sebalik “kehangatan” menjelang pemilihan bahagian dan pusat PKR, Majlis Muafakat Kepemimpinan Selangor mengesyorkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Presiden manakala isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyandang jawatan nombor dua.
Majlis itu mengesyorkan tindakan tersebut jika usaha berkompromi mengelakan pertandingan sengit — yang dikhuatiri mencetuskan “politicking” melampau — dengan mengekalkan status-quo gagal.
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat merupakan Penasihat PKR.
Awal minggu ini sekumpulan Ahli Parlimen, senator dan ADUN dari Selangor dan Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada Azmin Ali untuk bertanding kerusi nombor dua.
Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Zaid Ibrahim juga melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan itu jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak turun gelanggang.
Bagi mengelakkan persekitaran pemilihan yang tidak sihat, majlis itu yang dikatakan diketuai 19 pemimpin peringkat cabang dari Selangor, mahu Dr Wan Azizah dan Senator Dr Syed Husin masing-masing dikekalkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.
“Dengan ini, calon-calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden hendaklah menarik diri,” kata Majlis Muafakat Kepemimpinan PKR Negeri Selangor dalam satu kenyataan dikeluarkan di Petaling Jaya hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Syed Shahir Syed Mahamud selaku Pengerusi majlis itu dan Abd Kudus Omar sebagai timbalannya.
Syed Shahir merupakan Ketua PKR Kelana Jaya dan Timbalan Pengerusi PKR Selangor manakala Abd Kudus pula Ketua PKR Tanjung Karang.
Kata kenyataan itu, majlis itu telah memutuskan bahawa usaha-usaha strategis perlu dilakukan untuk mempastikan supaya proses pemilihan kepimpinan PKR dapat dilaksanakan secara demokratik dan harmonis seterusnya benar-benar dapat memperkasa perpaduan serta kejituan kepemimpinan parti pada masa depan.
Azmin juga merupakan pengerusi PKR Selangor.
PKR buat julung kali mengadakan pemilihan dengan membolehkan setiap ahli mengundi.
Pemilihan peringkat bahagian bermula 17 September ini manakala peringkat pusat pula selama tiga minggu secara berperingkat bermula minggu ketiga bulan depan.
Majlis itu berkata pihaknya amat menyedari bahawa PKR adalah parti harapan rakyat untuk mengemudi negara Malaysia yang lebih adil dan sejahtera.
“Oleh itu, PKR erlu menerapkan budaya politik baru yang harmonis, telus dan adil sebagai prinsip amalannya.
“Maka, amalan-amalan 'politicking' dan budaya politik kotor seperti yang telah membarah pada tubuh parti lawan hendaklah disekat dan dimusnahkan sejak dari awal lagi,” katanya.
Malah majlis tersebut juga menambah, wujud beberapa gejala negatif sebahagian kecil calon-calon yang ingin bertanding pelbagai jawatan dalam parti di pelbagai peringkat, boleh mencalarkan imej parti dan ia amatlah dikesalkan.
“Kami berpandangan ia harus ditangani segera dengan bijaksana oleh barisan kepimpinan parti di semua peringkat.
“Justeru itu beberapa pendekatan baru dalam mengurus proses pemilihan barisan pimpinan parti perlulah diperhalusi dan diolah.
“Kami berpandangan usaha ini perlu bermula dengan penyelesaian konflik pemilihan jawatan timbalan presiden parti,” kata majlis itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan