Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Mohd Rafizi Ramli akan bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan parti itu kali ini.
Ketua Ekskutif Penasihat Ekonomi Selangor itu berkata keputusan menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan itu adalah dengan matlamat untuk melakukan satu perubahan dalam mendekati generasi muda.
“Isu yang kita bawakan ini perlu boleh menarik seramai 4.6 juta pengundi muda di negara ini yang dikatakan kurang berminat terhadap politik.
“Jadi apa-apa isu yang akan saya bawa akan melambangkan isu yang rapat dan memberikan aspirasi kepada mereka,” katanya ketika sidang media di sini.
Beliau juga mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves Amirudin Shari yang juga Naib Ketua AMK akan bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua AMK yang kini disandang Fariz Musa.
Pada 2007, Shamsul Iskandar dipilih sebagai Ketua AMK setelah mengalahkan Ketua Cabang Parti Sulong Hasmi Hashim.
Kira-kira 400,000 ahli PKR akan mengundi ketika pemilihan parti November ini.
Menurut Mohd Rafizi, hasrat menawarkan diri bertanding dalam jawatan tersebut bukan untuk mempersoalkan kredibilti Shamsul sebagai Ketua AMK.
“Saya tidak boleh menilai bagus atau tidak bagus kerana bagi saya setiap persaingan yang berlaku adalah sesuatu yang sihat.
“Apa yang penting adalah tumpuan dan fokus yang mahu dibawa dalam pendebatan itu nanti.
“Selama ini Shamsul telah membawa perubahan yang besar kepada AMK melalui pendekatan-pendekatan yang beliau lakukan. Saya menawarkan diri adalah untuk memberikan tumpuan dalam sudut berlainan melalui kepelbagaian isu lain,” katanya.
Tambahnya, generasi muda hari ini dilihat tidak mempunyai minat terhadap politik kerana terlalu asyik dengan perkara lain.
“Saya tahu semua parti termasuk PKR, PAS atau Umno juga menyedari akan perkara ini.
“Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk menarik mereka kepada politik kerana hasrat untuk mencapai Putrajaya bergantung kepada 4.6 juta pengundi muda,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata AMK perlu menjauhkan diri daripada bayangan bekas Ketua AMK Senator Ezam Mohd Nor yang kini bersama dengan Umno selepas keluar daripada PKR.
“Dalam AMK tiada superstar, kerana kita perlu bergerak sebagai satu kumpulan untuk meneruskan agenda menarik pengundi muda bukan seperti Ezam yang dulu dianggap sebagai supertar kerana semua orang kenal beliau.
“Bagi saya semua barisan AMK adalah superstar, jadi kita perlu menjauhkan diri daripa bayangan Ezam.
“Kita perlu hadapi segala rintangan dan menyampaikan isu kepada generasi muda sebagai satu kumpulan sebagai individu,” katanya.
Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata pengundi akan mengundi berdasarkan isu yang dibawa bukan kepada individu.
“Pengundi baru undi berdasarkan isu yang kita bawa yang boleh mendekati golongan ini.
“Sekarang ini kita sudah bergerak jauh dari Ezam, kita tidak lagi dibayangi dan kita mampu untuk mendekati golongan muda dengan usaha kita sendiri,” katanya yang turut hadir dalam sidang media itu.
Selain Mohd Rafizi dan Amirudin, beberapa pemimpin lain turut menawarkan diri iaitu Adun Pantai Jerejak Sim Tze Tzin — calon Naib Ketua AMK dan bagi jawatan Exco AMK pula Adun Teja Chang Lih Kang, bekas Ketua AMK Selangor Halimey Abu Bakar, Ketua Biro Integrasi Keadilan Perak M A Tinagaran dan Pengerusi Siswazah Muda Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Saifullah Zulkifli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan