Tanda-tanda pilihan raya umum ke-13 semakin hampir memang telah kelihatan. Sejak dulu lagi, bila tiba musim pilihan raya, PAS perlu diserang dengan berbagai isu yang tidak relevan seperti Parti Ajaran Sesat, Pengganas dan berbagai lagi untuk menjatuhkan imej parti tersebut di mata umum.
Serangan keatas PAS sedikit kendur, sejak BN hilang banyak kerusi selepas pilihanraya umum ke-12 pada Mac 2008. Pemimpin-pemimpin UMNO berpusing 360 darjah, dengan bersuara lunak terhadap PAS bagi memujuk PAS bersekongkol dengan mereka.
Usaha membawa PAS kembali kepada BN atau setidak-tidaknya membentuk pakatan politik baru bersama dengan Umno telah dilakukan. Seorang Mufti dikatakan begitu aktif melakukan tugasan tersebut dengan menghubungi beberapa orang pemimpin tertinggi PAS bagi menyelamatkan beberapa kerajaan negeri dari hilang dari kekuasaan Umno.
Disebabkan PAS tidak termakan dengan tipu helah licik politik Umno sekali lagi, Umno tiada pilihan lain melainkan menyerang semula PAS dengan isu-isu lama yang dihidupkan semula menjelang pilihanraya umum yang akan diadakan secara mengejut oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk mendapat mandate yang baru.
Sebagaimana yang semua tahu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri setelah mereka (Umno) berjaya memaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur dari kerusi Perdana Menteri dan Presiden Umno dengan bantuan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Disebabkan yakin dengan popularitinya sudah meningkat, Datuk Seri Najib yakin sekarang adalah masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya sebelum sesuatu keadaan luar jangka berlaku selepas ini.
PAS mula diserang semula?
Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Afdal bertindak menjadi hulubalang UMNO dengan mendakwa PAS adalah ‘Parti Sesat’ ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Kulaijaya di Johor. Naib Presiden PAS, Sallehudin Ayub mencabar Shafie berdebat berhubung perkara ini.
Saya tidak pasti sama ada Shafie benar-benar yakin bahawa PAS mengamalkan ajaran sesat atau sekadar kenyataan politik murahan untuk mendapat tempat dalam pemilihan UMNO akan datang bagi mengekalkan kerusi Naib Presiden yang disandangnya sekarang.
PAS berpandangan bahawa kenyataan biadab ini untuk memburukkkan perjuangan PAS di kalangan orang Islam khususnya dan orang bukan Islam yang sudah semakin dekat dengan perjuangan PAS. Beliau cuba menakutkan orang ramai supaya jangan sokong PAS ketika Umno mengalami masalah dalaman mereka dan kekurangan minyak pelincir untuk menggerakkan parti mereka, terutama lubuk emas umno di Selangor dan Pulau Pinang yang kini berada di bawah Pakatan Rakyat.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menafikan dakwaan tersebut dan mencabar menjelaskan maksud ‘ajaran sesat’ yang dimaksudkan atau beliau telah kehilangan arah atau celaru dalam pemikiran politik sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.
Beliau menegaskan, fasa 3 Perlembagaan Pas, “Dasar Pas ialah Islam”. Di dalam fasa 7 (1) pula dinyatakan, adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan Pas ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma’ Ulamak dan Qias yang terang dan nyata.
Manakala Umno pula apa dasarnya dan apa pula rujukannya? PAS dilaporkan memberi amaran kepada Shafei Apdal menarik balik kenyataan tersebut dan menasihatkan beliau sebelum hendak menuduh PAS sebagai ajaran sesat, supaya melihat dahulu beberapa kenyataan pemimpin Umno yang menghina hukum Allah dan janggut Nabi Muhammad S.A.W.
Sebelum itu, dilaporkan seorang pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) mendakwa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlibat dengan rangkaian kumpulan pengganas Jemaah Islamiyyah (JI).
Turut didakwa terlibat dengan gerakan yang amat berbahaya ini adalah Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, bekas Mufti Perli, Dr Asri Zainal Abidin dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Shahidan Kassim. Walaubagaimanapun tuduhan ini telah dinafikan oleh pihak berkuasa.
Selain itu, Pengerusi DAP Karpal Singh pula mengecam PAS kerana terus berpegang kepada dasar perjuangan menegakkan Islam dengan membawa Konsep Negara Islam. Beliau meminta PAS menerima hakikat bahawa Malaysia ketika ini Negara sekular, bukannya sebuah Negara Islam.
Tetapi Tun Dr. Mahathir pernah mengumumkan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam dalam Persidangan Agung Parti Gerakan lebih sedekad yang lalu. Sejak itu, pemimpin-pemimpin Negara tetap mengatakan Malaysia contoh Negara Islam.
Semua rakyat Malaysia telah mengakui perkara ini. Negara Islam adalah sebuah pentadbiran yang indah sekiranya ia benar-benar direalisasikan jika Pakatan Rakyat (PR) memenangi pilihanraya umum akan datang.
“Contoh terbaik Negara Islam yang akan dilakukan adalah seperti di Kelantan hari ini, dimana kita begitu berjaya selepas 20 tahun memerintah”, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sementara Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, “soal menegakkan Islam ia adalah dasar perjuangan PAS. Kita tidak memaksa dan mahu rakyat memahami konsep Negara Islam dan jika sudah bersedia baru kita laksanakan”.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah melihat isu Negara Islam yang tidak dipersetujui oleh Karpal (Singh) sekali gus akan memberi ruang kepada UMNO dan BN untuk terus mengeruhkan hubungan PAS-DAP.
Manakala Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasaruddin Tantawi lebih tegas lagi meminta PAS mengkaji semula hubungan dengan DAP.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan meminta, “elakkan bercakap melalui media yang boleh memburukkan keadaan. Jika terdapat kecelaruan berkenaan ini ia boleh diselesaikan melalui mesyuarat”.
Tindakan Karpal Singh ini bukan sahaja tidak selari dengan aspirasi Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam pada tahun lepas tetapi menjejaskan perjuangan parti PAS, PKR dan DAP.
(Tulisan di atas ditulis oleh Suhaimi Al-Maniri dan diterbit untuk akhbar Siasah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan