Pengikut

Rabu, 4 April 2012

Bersih Dan Pilihan Raya

Pada 9 Julai 2011 tahun lalu Bersih 2.0 telah mengajukan 8 Tuntutan. Tuntutan ini telah disampaikan kepada Yang DiPertuan Agong. Turut sama menghantar memo tuntutan ini ialah ribuan warga Malaysia. Warga Malaysia telah turun ke jalan raya bersama Bersih menuntut agar pilihan raya ke-13 nanti akan menjadi bersih, adil dan telus.

Pada petang 9 Julai itu, ribuan warga telah menjadi saksi melihat bagaimana pihak berwajib telah menggunakan kekerasan untuk mematahkan semangat 8 Tuntutan Bersih ini.

Warga yang menunjukkan perasaan ini telah mendapat semburan air asid, tembakan gas pemedih mata, dipukul dan ditangkap. Malah hospital tempat yang dijangkakan selamat untuk 'berselindung' telah juga diserang dengan tembakan gas pemedih mata.

Kendati pun keganasan yang menimpa — warga Malaysia merasakan satu kemenangan dan kejayaan 'turun ke jalan raya'. Pada awalnya seluruh media dan alat propaganda kerajaan telah 'mengila-gila' - mengutuk dan memperlekeh Bersih. Tetapi hakikatnya lanskap politik Malayaia telah berubah satelah 9 Julai.

Bersih 2.0 telah memecahkan ruyung - takut yang selama ini memagar orang ramai. Bersih telah membuka keberanian rakyat untuk menuntut hak dijalan raya. Justeru, 9 Julai 2011 adalah tarikh sejarah dimana warga Malaysia — anak semua bangsa - tidak lagi akan dapat ditakut-takutkan.

Ombak dan gelombang rakyat yang digerakkan oleh Bersih telah memaksa Perdana Menteri Najib Razak menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Parliamentary Select Comittee). Jawatankuasa ini ditugaskan untuk menerima pandangan orang ramai tentang cara memperbaiki sistem pilihan raya.

Dengan penubuhan Jawatankuasa ini — apa yang jelas ialah rakyat tidak mahu lagi pilihan raya yang berat sebelah atau pilihan raya yang dilihat sebagai satu penipuan. Orang ramai mahukan pilihan raya yang telus, adil dan bersih.

Secara demokratik Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini telah berlegar dari bandar besar ke pekan kecil untuk bertemu dengan pelbagai NGO, orang perseorangan, pemimpin penduduk, wakil orang kampung - untuk mendengar suara dan mendapat pandangan tentang cara terbaik untuk memastikan PRU-13 nanti dilihat bersih, adil dan telus.

Orang ramai juga wajib diberitahu satu sejarah - satu babak ironi lagi absurd yang telah dilakonkan oleh Jawatankuasa ini. Semua warga tahu bahawa Jawatankuasa ini diwujudkan kerana demonstrasi anjuran Bersih 2.0.

Tetapi Bersih sebagai payung kepada lebih dari 80 NGO tidak diterima secara rasmi oleh Jawatankuasa Parlimen ini. Menurut lojik, Jawatankuasa Bersih ini adalah sebuah pertubuhan yang 'tidak bersunat' - ertinya pertubuhan haram.

Penolakan Bersih dari menyampaikan pandangan dan memo telah memperlihatkan watak asli Jawatankuasa ini. Tanpa segan silu Jawatankuasa ini memperlihatkan 'ketidakjujuran'.

Tetapi ini tidak mematahkan semangat Bersih. Walaupun tidak diterima sebagai sebuah NGO atau kumpulan - pandangan dan memo dari Bersih telah diajukan sebagai pandangan individu.
Pemimpin Bersih telah menyampaikan pandangan secara individu tanpa mewakili sesiapa. Jelas. Jawatankuasa ini telah membebal dan mengkomedikan diri mereka sendiri.

Ketika Jawatankuasa ini menjalankan tugas, orang ramai dari hari ke minggu hingga ke bulan telah membaca penyelewengan tentang sistem pilihan raya. Sebenarnya 'kong kalikong' pilihan raya ini telah menjadi rahsia umum.

Orang ramai dari warung ke cafe, dari surau ke masjid — sering bercerita tentang penipuan dalam pilihan raya. Penipuan yang menjadi rahsia umum ini akhirnya telah menjadi lawak sedih. Dengan bantuan teknologi digital, makin terserlah penipuan ini. Teknologi digital ini telah membolehkan senarai nama diselidik dan dikenal pasti. Teknologi digital telah membuktikan dengan saheh penipuan dan penyelewangan ini.

Bukan sahaja pengundi yang berumur lebih dari 100 tahun akan datang mengundi, malah warga yang telah mati juga tersenarai sebagai bakal pengundi PRU-13 nanti. Ini belum lagi termasuk 70 hingga 100 pengundi yang duduk dalam sebuah rumah di alamat yang sama.

Yang menjadi lawak sedih - di Kampung Pantai Dalam ada alamat sebuah rumah yang diduduki 40 orang pengundi dari semua bangsa kecuali Indon, Bangla dan Myanmar. Alamat dan nama pengundi ini masih lagi dalam senarai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sayangnya, bangunan rumah di alamat ini sekarang ialah pondok memungut tol lebuh raya. Jangan terperanjat - jumlah warga yang hidup berasak- asak dan berkumpul-kumpul dengan menggunakan satu alamat ini telah melebihi 70,000.

Penipuan ini menjadi sedih lagi menyedihkan apabila media termasuk media arus perdana telah melaporkan bagaimana Kampong Baru bukan lagi sebuah kampung, tetapi nama seorang bakal pengundi PRU-13. Tidak cukup dengan lawak ini, kita juga diberitahu bahawa Balai Polis Kg Kerinchi juga ialah nama seorang bakal pengundi di Lembah Pantai.

Di Parlimen, Pakatan Rakyat telah berkali-kali menimbulkan perkara penyelewengan ini kepada SPR. Lembaga ini dilihat bukan sahaja tidak bergigi malah SPR dilihat sebagai tidak berseluar lagi. Penipuan telah dibogelkan dan dibuktikan. Paling akhir terbukti ialah nama Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor - tiba-tiba telah beralih tempat mengundi.

Menteri Besar Selangor ini tanpa disedari telah beralih tempat mengundi - dari Seksen 16 Petaling Jaya, Selangor ke Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan. Apa yang berlaku disini ialah SPR dengan sengaja telah mengubah sempadan pilihan raya. Dari segi undang-undang, ini kerja haram.

Malah lebih jahat lagi kerana tidak mendapat kebenaran Sultan Selangor apabila 'mencilok' tanah Selangor untuk dijadikan tanah Wilayah Persekutuan.

Mengenai persempadanan semula yang dibuat secara gelap dan haram ini Pakatan Rakyat telah mengeluarkan kenyataan rasmi. Mengikut kenyatan ini, 31,294 pengundi telah ditemui dialih tanpa pengetahuan pengundi sendiri.

Penyelewengan dan penipuan seperti ini menjadi lebih buruk apabila ribuan pendatang asing telah diberi kad pengenalan yang membolehkan mereka mengundi di PRU-13 nanti. Berita bagaimana Mat Indon di Kuala Lumpur dan Mat Filipina di Sabah yang dulunya pendatang haram kini telah 'diputihkan'. Mereka yang dulu 'haram' kini akan menjadi bakal mengundi di PRU ke-13.

Semua penipuan dan 'kong kalikong' ini membuktikan tentang wujudnya satu perancangan yang tersususn lagi licik. Perancangan jahat ini bertujuan untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus berkuasa.

Pada minggu pertama bulan April ini Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tentang pilihan raya akan menyampaikan laporan. Pada 2 atau 3 April ini, laporan akan dibentang di Parlimen untuk didebatkan. Parlimen menyediakan masa 1 jam untuk berdebat. Pakatan Rakyat 30 minit dan Barisan 30 minit.

Dari laporan media, orang ramai telah diberitahu bahawa percanggahan yang jelas telah timbul dalam jawatankuasa ini. Tiga wakil Pakatan Rakyat berpendapat isu-isu fundamental untuk memperbaiki sistem pilihan raya ini tidak disentuh langsung.

Maka semakin jelas para pengundi melihat bahawa penubuhan Jawatankuasa ini hanyalah satu taktik untuk meredakan dan menjinakkan kemarahan rakyat yang telah turun berdemo pada 9 Julai tahun lalu.

Dari laporan media juga orang ramai telah diberitahui bahawa dari 8 Tuntutan Bersih, hanya 1 sahaja telah diterima - penggunaan dakwat kekal. Walhal, 3 lagi tuntutan yang boleh dijalankan oleh SPR tanpa memerlukan perubahan undang-undang atau perlu dibawa ke Parlimen - telah dibakul sampahkan.

Perkara ini: memanjangkan masa berkempen, membersihkan senarai pengundi dan melupuskan undi pos - boleh dilakukan oleh SPR hanya dengan arahan pentabiran.

Jelas disini SPR dilihat umum - bukan lagi sebagai badan bebas yang mendengar tuntutan orang ramai, tetapi SPR telah menjadi alat dan pekakas United Malays National Ogranisation.

Ketika semua drama putar alam ini berjalan - warga dan kaum kerabat Bersih memerhatikan dengan teliti. Walau pun mereka sedar tentang 'kong kalikong' yang sedang berjalan, tetapi masih lagi sabar menunggu untuk mendengar dan membaca laporan Jawatankuasa Parlimen ini.

Dari laporan media orang ramai telah mengetahui bahawa 7 dari 8 Tuntutan Bersih ini tidak dipedulikan. Justeru kaum kerabat Bersih dan juga Jawatanluasa Pemandu Bersih kini telah bersiap sedia untuk melancarkan Bersih 3.0. Dengan penuh kesedaran, kaum kerabat Bersih tahu bahawa masa dan ketika untuk melancarkan satu lagi gerakan ke jalan raya telah sampai.

Gerakan Bersih 3.0 kali ini adalah untuk memastikan PRU ke-13 berjalan di landasan yang adil, telus dan bersih. Rakyat Malaysia - anak semua bangsa - kali ini tidak ada pilihan melainkan turun sekali lagi ke jalan raya untuk menuntut 7 Tuntutan Bersih 2.0 yang belum ditunaikan.

Tunjuk perasaan Bersih 3.0 ini nanti adalah Ibu dari segala demo. Tunjuk perasaan ini juga adalah Ayah, Datuk dan Nenek dari segala tunjuk perasaan.

Segala perancangan untuk menipu dalam PRU ke-13 hanya akan dapat dilupuskan dengan ke jalan raya sebelum ke pilihan raya. END

-Yahoo News / Hishamuddin Rais

Tiada ulasan:

Catat Ulasan