Pengikut

Isnin, 12 Mac 2012

SPRM didesak siasat majlis pertunangan anak Najib

NGO Jingga 13 membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan wang rakyat bagi membiayai majlis pertunangan anak perempuan beliau.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata pihaknya mahu SPRM melakukan siasatan segera berdasarkan bukti tempahan bankuet Hotel Shangri-la Kuala Lumpur, pada 13 Jun 2011.

“Kami mendesak SPRM mengambil tindakan tegas terhadap Najib yang ternyata berdasarkan bukti ‘banquet event order’ oleh Shangri-la Hotel, Kuala Lumpur yang disahkan penerimaan pada 13 Jun 2011 telah ditempah oleh Setiausaha Sulit Najib, Datuk Mohd. Poad Jelani,” katanya ketika ditemui di Pejabat SPRM Shah Alam selepas membuat laporan.

Laporan berkenaan susulan pendedahan yang dilakukan Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli minggu lalu, berdasarkan dokumen satu tempahan jamuan bankuet kepada Hotel Shangri La yang didakwa menyediakan katering untuk majlis berkenaan.

Rafizi dalam pendedahannya mendakwa kos sebanyak RM409,767 itu telah dicaj kepada Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Fariz berkata, sekiranya tuduhan itu tidak benar, perdana menteri perlu mengemuka bukti kepada rakyat daripada manakah wang tersebut diperolehi bagi membiayai majlis pertunangan berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana majlis pertunangan yang bersifat peribadi boleh mencecah sehingga RM409, 767 sedangkan ia hanya dihadiri tidak kurang daripada 1000 tetamu.

Kos berkenaan meliputi RM18, 792 untuk jamuan VIP seramai 36 orang, RM309, 975 bagi jamuan tetamu seramai 862 orang dan kos pengendalian sebanyak RM81,000.

Beliau berkata, tindakan Najib menggunakan wang rakyat bagi tujuan peribadi adalah tindakan salah guna kuasa sedangkan rakyat hidup tertekan dengan kenaikan kos sara hidup pada masakini.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa bertunang warga Kazakhstan pada 17 Jun 2011 dengan seorang pembesar Kazakhstan, Daniyar Nazarbayev dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya. -KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan