Pengikut

Jumaat, 16 Mac 2012

Kontraktor Melayu sokong projek infrastruktur kerajaan negeri

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang (PKMMNPP) menyokong penuh empat projek infrastruktur yang dirancang kerajaan Pulau Pinang.

“Kami sangat mengalu-alukan projek-projek tersebut kerana ia bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalulintas di Pulau Pinang serta akan memacu pembangunan ekonomi negeri, terutamanya di Seberang Perai Utara (SPU).

“Projek-projek yang dicadangkan ini akan membawa faedah kepada semua rakyat SPU termasuk masyarakat Melayu yang merupakan majoriti di SPU.

“Justeru, terowong bawah laut yang menghubungkan Bagan Ajam dengan Gurney Drive akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang kritikal,” kata timbalan yang dipertua PKMMNPP, Dato Izham Dato Omar Merican dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata begitu ketika mengulas rancangan kerajaan negeri untuk membina infrastruktur seperti berikut:

  • Terowong bawah laut 6.5km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam (berdekatan dengan Butterworth).
  • Jalan sepanjang 15 km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang.
  • Jalan pintas 5 km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
  • Jalan pintas 5 km dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Terowong bawah laut

“Terowong tersebut akan melengkapkan kesalinghubungan di antara Seberang Perai dan Pulau Pinang, kerana Jambatan Pertama berada di Seberang Perai Tengah (SPT) manakala Jambatan Kedua berada di Seberang Prai Selatan (SPS). Hanya SPU masih tidak mempunyai hubungan dengan pulau.

“Terowong bawah laut ini sekaligus akan memastikan bahawa orang Melayu di SPU akan dapat menikmati pembangunan yang setara dengan kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang.

Dato Izham juga yakin bahawa projek-projek tersebut tidak akan memudaratkan penghuni di kawasan tersebut sebaliknya akan membawa kemajuan kepada penduduk tempatan.

Beliau menambah bahawa pihaknya mempunyai keyakinan penuh bahawa semua prosedur dan peraturan yang berkenaan akan dituruti, seperti proses rundingan umum untuk rekabentuk, pemilihan laluan dan juga kajian kesan alam sekitar.

“Semua proses-proses ini hendaklah dipersetujui terdahulu sebelum kelangsungan projek-projek tersebut.

“Sekiranya terdapat masalah yang timbul semasa proses-proses tersebut, dan jika projek-projek tersebut didapati kurang sesuai, maka ia tidak akan dilaksanakan,” tambah Izham.

Sumber: FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan