Pengikut

Ahad, 25 Mac 2012

Kes anak menteri, siasatan jangan berat sebelah

Pihak polis digesa menjalankan siasatan secara bebas dan tidak berat sebelah berhubung dakwaan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyerang seorang penyelia keselamatan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Pihak keselamatan juga diharapkan tidak tunduk kepada sebarang tekanan termasuk sekiranya datang daripada menteri sendiri, demikian peringatan daripada Naib Presiden PKR N Surendran , Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan NGO JINGGA 13 yang dekat dengan pembangkang.

"Keyakinan umum pada polis sentiasa berada di paras rendah pada setiap masa dan polis mesti membuktikan mereka boleh menyiasatnya tanpa memihak," kata Surendran yang juga seorang pengamal undang-undang.

Dalam masa yang sama, Surendran berkata, Nazri mesti menjelaskan bagaimanapun anaknya mampu memiliki kereta Porsche dan mempunyai pengawal peribadi sendiri.

"Ini juga masanya semua menteri patut mengisytiharkan harta masing-masing," katanya.

Ketua Polis Daerah Polis Brickfields, Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid sebelum ini mengesahkan dua laporan polis dibuat ekoran kejadian di Bukit Kiara itu dan menyiasatnya mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pergaduhan.

Seorang jurucakap pengurusan kondominium itu mengesahkan bahawa terdapat perbalahan kecil antara anggota keselamatan dan tetamu bangunan itu tetapi enggan mengulas lanjut butiran kejadian.

-M'kini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan