Pengikut

Jumaat, 23 Mac 2012

Jika RM250j untuk NFCorp diberi kepada rakyat Sabah

Alangkah baik jika peruntukan RM250 juta yang diberikan kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) yang telah disalahgunakan untuk membeli kondo mewah dan pasaraya di Singapura, disalurkan kepada penternak-penternak lembu di Sabah.

Itulah harapan Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu, yang berpendapat bahawa penternak-penternak lembu di negeri di bawah bayu itu, khususnya di Kota Belud yang terdapat tanah luas, dapat membantu rakyat mendapat bekalan daging yang cukup.

“Sekurang-kurangnya setiap keluarga di Kota Belud boleh dapat dua ekor lembu. Ramai orang akan mendapat manfaat daripadanya dan Sabah boleh menjadi negeri pengeluar daging pada masa hadapan” katanya sewaktu membahaskan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya, jika langkah itu dilaksanakan untuk Sabah, matlamat jaminan bekalan makanan, khususnya daging, yang mencukupi akan dapat dicapai.

Skandal NFCorp yang telah pun dibawa ke mahkamah hasil kepincangan amalan kronisme dan penyelewengan kerajaan UMNO-BN telah menghakis keyakinan rakyat terhadap janji-janji transformasi Datuk Seri Najib Razak.

Dr Hiew menambah bahawa bukan sahaja Sabah dipinggirkan di segi pengeluaran daging, negeri itu juga gagal menghasilkan pengeluaran beras.

“Kita masih tidak dapat melihat apa-apa kesan walau pun berjuta-juta ringgit telah diperuntukkan untuk membangunkan dan meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata, Sabah di bawah pemerintahan UMNO-BN tidak mempunyai pengurusan ekonomi yang baik, termasuk dengan fakta bahawa 42% daripada penduduk miskin di Malaysia berada di Sabah.

Menurutnya, dengan kekayaan sumber semulajadi, rakyat Sabah sepatutnya boleh menikmati faedah kemakmuran dan keselesaan tetapi kini ramai anak negeri berhijrah ke luar kerana ketiadaan peluang ekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi di Sabah adalah ke belakang dengan aktiviti pembangunan yang sangat sedikit, baik di dalam industri, infrastruktur, pertanian atau sektor pelancongan.

“Kerajaan telah membuat pengumuman besar dan rancangan besar, tetapi adakah itu akan berlaku? Sebenarnya Sabah ke belakang sekurang-kurangnya 15 tahun jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Kita begitu mundur sehingga pelabur-pelabur tidak mahu datang ke Sabah untuk melabur.
Sabah kaya dengan bahan mentah , Pulau Pinang mempunyai sedikit sahaja, kenapa Pulau Pinang boleh mencapai pelaburan yang tinggi dalam dua tahun?” tambah beliau.

Dr Hiew kesal kerana rasuah di Sabah dan di Malaysia terus berkembang, mengikut indeks rasuah antarabangsa, kerana tiadanya tender secara terbuka untuk menggalakkan persaingan yang adil di kalangan kontraktor yang layak, dan bukan diberikan kepada syarikat-syarikat kroni.

Katanya, banyak kerja-kerja telah gagal kerana kontraktor yang tidak berkelayakan, terutama jenis ‘ali baba’, yang diberi projek.

“Ini telah merosakan negara kita. Mengapa kita perlu membiayai harga yang begitu tinggi untuk mendapatkan sesuatu projek dijalankan? Adakah kita mahu tabiat ini menjadi amalan biasa atau budaya?” ujarnya

-RM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan