Pengikut

Khamis, 25 Ogos 2011

Perogol bersiri diburu...

Memerhatikan dan mengacukan pisau ke leher serta kemudiannya mengikat mangsa sebelum dirogol dengan rakus menjadi modus operandi seorang lelaki berusia 20-an menodai gadis-gadis sunti di beberapa daerah di negeri ini.

Sehubungan itu, pihak polis kini sedang giat memburu lelaki berkenaan yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan 19 kes rogol membabitkan daerah Kota Bharu, Tanah Merah dan Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlam Lazim berkata, perogol bersiri itu dikatakan menjadikan pelajar dan pekerja wanita yang tinggal di asrama sebagai sasarannya.

“Suspek akan memerhatikan mangsa terlebih dahulu, selepas mendapati mangsa bersendirian, suspek meluru masuk ke dalam asrama seterusnya mengikat mangsa.

“Dia kemudian menggunakan pisau di rumah gadis terbabit untuk mengugut supaya mendiamkan diri lalu merogol mereka,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.

Menurutnya, sebarang tali termasuk wayar telefon dan tudung yang dijumpai di rumah mangsa akan digunakan suspek untuk mengikat sasarannya itu.

“Perlakuan jenayah seksual lelaki berkenaan dikesan aktif sejak setahun lalu dan setakat hari ini (semalam) polis menerima 16 laporan berkaitan dari Kota Bharu dan satu masing-masing di Tanah Merah dan Tumpat,” katanya.

“Terbaru adalah kes di Tanah Merah dan berdasarkan maklumat mangsa, wajah suspek berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai berhampiran,” katanya.

Susulan itu, beliau mengingatkan mereka yang tinggal di asrama supaya lebih berhati-hati serta sentiasa mengunci pintu rumah bagi menghalang suspek daripada masuk ke asrama mereka.

“Jika terlihat individu mencurigakan, segera laporkan kepada pihak polis dan orang awam yang mempunyai maklumat tentang suspek boleh menghubungi talian 017-6900714 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. - SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan