Pengikut

Isnin, 27 Julai 2009

Masih Ada Sinar


Gempar. Heboh 1 Malaysia. Berita utama akhbar-akhbar berbahasa Melayu hari ini 26 Julai 2009. Sudah tentu semua tahu ke mana arah akhbar tersebut yang selamanya berkiblatkan UMNO. Biarpun kiblat sembahyang orang Islam pernah ditukar dari Masjid Al-Aqsa, Palestin ke Masjid Al-Haram, Mekah. Kerana itulah umat Melayu di Malaysia selalu terpesong akidah politik mereka.

Apakah tajuk yang hangat dan gempar itu. Bagi yang tidak mahu membeli akhbar-akhbar Melayu yang bercetak itu jenguk-jenguklah beritanya dalam talian internet. Tapi awas baca dengan mata hati bukan sahaja dengan mata kepala.


UMNO seolah-olah sedar dari pengsan yang lama apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) tiba-tiba menghulurkan salam dan mengeluarkan kenyataan bahawa "kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas sedia bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan kebaikan Islam."

Bagi pendokong Pas terutama aliran non- kerajaan perpaduan amat memahami maksud yang dinyatakan oleh TGNA ini. Amat mudah memahami kenyataan ini. Dan selalunya TGNA sebagai ketua kerajaan Islam Kelantan tidak pernah menutup pintu kerjasama dengan kerajaan pusat. Sekaya manapun kerajaan negeri tetapi masih perlu berkerjasama dengan kerajaan pusat. Perkara ini sudah tersimpan rapi dalam Perlembagaan Malaysia.

Namun kenyataan Naib Presiden UMNO iaitu "kerjasama antara kerajaan dan parti harus konsisten" agak janggal dan keliru. Umum sudah faham bahawa kerajaan dan parti adalah dua elemen yang sama sekali berbeza. Seperti artikel yang ditulis oleh Ustaz Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak merangkap Pesuruhjaya Pas negeri Terengganu. Beliau jelas membezakan antara parti UMNO dan parti Pas. Jauh bezanya apatah lagi kalau kita meneropong mengikut kanta pembesar agama Islam.

Selama hampir 20 tahun mentadbir negeri Kelantan mengikut acuan Islam, TGNA tidak pernah menghalang agenda pembangunan kerajaan pusat yang diperuntukkan untuk Kelantan. Biarpun kadang-kadang mengurangkan populariti Menteri Besar dan kerajaan Pas sendiri tetapi TGNA akan bertegas jika program itu bertentangan dengan Islam.

UMNO yang sudah kita maklum bukannya tidak faham perbezaan antara kerajaan dengan parti tetapi sentiasa menangguk di air yang keruh ataupun air yang jernih untuk hayat politik mereka. Seolah-olah tersangat ganjil apabila semasa kempen PRK Manek Urai, TGNA dengan lantang menyamakan parti UMNO sesat sama seperti ajaran Ayah Pin atau fahaman komunis. Selepas PRK tersebut tiba-tiba lain pula nada TGNA. Bagi yang tahu dan faham selok belok politik kenegaraan, perkara ini adalah biasa sahaja.

TGNA menunjukkan kematangan poitik dan pemimpin Islam yang berjiwa besar. Beliau sebenarnya adalah Negarawan Sejati.

Contoh tauladan yang ditunjukkan TGNA sangat besar hikmahnya. Dalam kemelut yang masih lagi terngiang-ngiang mengenai Kerajaan Perpaduan, beliau telah membuka jalan yang harus ditempuhi oleh pejuang-pejuang Islam, keadilan, dan demokrasi. Arah mana yang harus kita halakan bahtera perjuangan ini.

Dalam PRK Manek Urai saya melihat beliau umpama Jeneral, menyerang musuh tanpa henti. Dalam mengetuai Kerajaan Islam Kelantan beliau menjadi 'Bapa' melindungi anak-anaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan