Pengikut
Rabu, 29 Julai 2009
HINI SERANG SEBERANG PERAI
SELURUH warga Seberang Perai harus berhati-hati kerana HINI telah menular hebat di kawasan tersebut. Menurut sumber yang boleh dipercayai, kini terdapat 17 orang mangsa yang sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Menurut sumber itu kesemua mangsa itu datangnya daripada Politeknik Seberang Perai dan kini seorang mangsa dikatakan kritikal. Sehubungan itu Politeknik Seberang Perai telah ditutup.
Selain Politeknik Seberang Perai, UITM di Permatang Pauh, Maktab Rendah Sains Mara di Kepala Batas, Sekolah Teknik Nibong Tebal dan sebuah sekolah di Telok Air Tawar juga ditutup.
Sehingga kini wabak HINI telah meragut 3 orang rakyat negara ini dan mangsa ketikanya seorang lelaki berumur 42 tahun mati akibat Influenza A (H1N1) petang semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata lelaki itu disahkan menghidap Influenza A (H1N1) Khamis lalu.
"Kes itu yang mengalami pelbagai komplikasi telah meninggal dunia pada 27 Julai jam 4.40 petang disebabkan pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, lelaki itu dilapor tidak sihat sejak 6 Julai lalu dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di beberapa klinik dan hospital swasta.
Lelaki itu dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 18 Julai kerana keadaan yang semakin teruk dan didiagnosis sebagai pneumonia.
Semasa di wad, beliau dikesan menghidap Diabetes Mellitus manakala x-ray dada pula menunjukkan beliau mengalami pneumonia.
"Pada 19 Julai kes dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan (ventilator). Memandangkan keadaan kes yang semakin teruk, ujian sampel tekak diambil pada 22 Julai dan disahkan positif Influenza A (H1N1) pada 23 Julai," katanya.
Liow yang kecewa dengan perkembangan itu berkata, semua klinik dan hospital di negara ini seharusnya mengambil langkah segera dalam mengesan pesakit yang dijangkiti Influenza A (H1N1) bagi membolehkan rawatan segera diberikan.
"Daripada kes ini, kita boleh lihat pesakit ini telah pergi ke beberapa klinik sejak dia tidak sihat dari 6 Julai hingga 18 Julai apabila keadaannya semakin teruk, tetapi pihak klinik masih tidak mengambil sebarang ujian H1N1.
"Jadi saya ingin menggesa semua klinik dan hospital untuk sentiasa berwaspada, lebih efektif dan mengambil tindakan serta langkah segera dalam mana-mana kes yang disyaki influenza. Ada banyak kes yang datang dengan simptom pneumonia tetapi mereka perlu menjalani ujian sama ada ia H1N1 atau tidak. Mereka perlu mengambil langkah segera itu," katanya.
Mengenai situasi semasa Liow berkata terdapat 95 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan, semuanya adalah kes tempatan di kalangan warganegara Malaysia, iaitu 68 daripadanya merupakan kejadian dari 19 kluster baru, 22 kes dari 11 kluster sedia ada manakala lima kes lagi adalah kes-kes sporadik atau terpencil.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan